PETALING JAYA: AIA Malaysia menerusi AIA Vitality berjaya merekodkan 230 bilion langkah melalui 391,000 ahli sekali gus berjaya meningkatkan indikator kesihatan ahli melalui perjalanan berasaskan ganjaran serta membuktikan program ini mampu mengubah pilihan harian kepada hasil kesihatan jangka panjang yang positif.
Menerusi ulang tahun yang ke-10, AIA Vitality telah mencerminkan anjakan dasar bagaimana insurans mencipta nilai yang mengubah peranan tradisional syarikat insurans sebagai pembayar tuntutan apabila pelanggan jatuh sakit kepada rakan aktif yang sentiasa bersama pelanggan disamping membimbing dan menyokong mereka untuk kekal sihat.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Heng Zee Wang berkata, program itu telah memperkasa rakyat Malaysia untuk mengawal kesihatan mereka dengan membuat pilihan gaya hidup yang lebih bijak serta mengamalkan pemakanan lebih sihat, mengutamakan rehat serta memperbaiki indikator kesihatan utama.
Katanya, usaha-usaha ini mencerminkan komitmen AIA Malaysia untuk menjadikan kesihatan pencegahan lebih mudah diakses, menarik dan relevan bagi individu di setiap peringkat perjalanan kesejahteraan mereka.
“Kami berbangga kerana program ini bukan sahaja mengubah tingkah laku secara luas tetapi mentakrifkan semula peranan insurans selaras dengan misi kami untuk membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.
“Program ini akan terus berkembang sebagai platform yang lebih inklusif dengan pelbagai titik permulaan bermakna untuk setiap rakyat Malaysia daripada ahli-ahli baharu hingga lama yang disokong oleh inisiatif-inisiatif menarik,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 31 Disember 2025, data daripada Pemeriksaan Kesihatan AIA Vitality menunjukkan impak program yang ketara serta boleh diukur terhadap tahap kesihatan ahli.
“Sebanyak 79 peratus ahli berjaya memperbaiki paras glukosa selain 61 peratus telah mencapai paras kolesterol yang lebih sihat serta 49 peratus berjaya memperbaiki paras tekanan rendah dan 43 peratus mencatatkan penambahbaikan dalam Indeks Jisim Badan (BMI),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chai Tze Siang berkata, keputusan ini jelas membuktikan keberkesanan AIA Vitality sebagai platform kesihatan pencegahan jangka panjang.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran awal terhadap risiko kesihatan, malah ia turut mendorong perubahan tingkah laku yang berterusan dalam kalangan pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN










