Yaakob hero tidak didendang peristiwa Bukit Candu

Yaakob hero tidak didendang peristiwa Bukit Candu

ALLAHYARHAM Yaakob Bidin (kanan) bersama cucunya, Ahmad Ariffien Akmal Hidzri ketika bergambar di beranda rumahnya di Kampung Tebing Tinggi, Sanggang di Temerloh, Pahang sekitar 1992.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Koperal Yaakob Bidin adalah satu-satunya askar Melayu yang terselamat dalam serangan tentera Jepun di Bukit Candu, Singapura pada 14 Februari 1942 yang turut mengorbankan Leftenan Adnan Saidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, Yaakob boleh dianggap sebagai hero yang tidak didendang walaupun berjuang satu pasukan dengan ketuanya, Leftenan Adnan.

Beliau berkata, Yaakob adalah anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Sanggang di daerah ini dan menyertai pasukan askar Melayu sekitar 1933 dengan nombor tentera 182.

“Saya individu terawal menemu bual Yaakob di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi sekitar 1979 apabila mengetahui dia masih hidup. Yaakob bercerita ketika pertempuran itu, askar Melayu langsung tidak gentar menentang lebih 13,000 tentera Jepun yang disangka askar Gurka hingga kehabisan peluru.

“Berikutan kehabisan peluru, Yaakob ditugaskan oleh Leftenan Adnan mengutip senjata dan peluru ditinggalkan rakan-rakan yang maut dalam pertempuran tersebut,” katanya di sini, semalam.

Aripin berkata, Yaakob bercerita, ketika menjalankan misi itu, dia menyaksikan hampir semua rakan sepasukannya terbunuh dan cedera termasuk Leftenan Adnan diseksa sehingga maut.

Lumur darah

Bercerita lanjut, beliau berkata, melihat rakan sepasukannya terbunuh, Yaakob dan seorang askar Inggeris bernama Jenaro Ereks melumur darah rakannya di seluruh badan dan berbaring di bawah mayat rakan-rakan berpura-pura mati.

“Selepas Jepun beredar dari situ, Yaakob melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah di waktu malam berbekalkan sepucuk pistol dan beberapa butir peluru untuk pulang berjalan kaki ke Temerloh.

“Ketika sampai di kampungnya, Yaakob terpaksa berdiam diri kerana Jepun sudah pun mengalahkan Inggeris. Ramai bekas tentera dan penyokong Inggeris ditangkap dan dihukum bunuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekas Pengarah Muzium Negara, Allahyarham Tan Sri Mubin Sheppard menulis sejarah pertempuran Askar Melayu – Jepun di Bukit Candu berdasarkan kepada ‘bukti hidup’ daripada Yaakob.

Sementara itu, anak bongsu Yaakob, Adnan, 63, berkata, Allahyarham bapanya sering bercerita tentang sejarah peristiwa rejimen Askar Melayu menentang Jepun di Bukit Candu kepada adik beradik dan rakan sekampungnya.

“Saya dan keluarga lebih awal mendengar kisah keperwiraan Leftenan Adnan dan pasukannya menentang askar Jepun dalam misi menawan Singapura dalam Perang Dunia Kedua,” katanya.

Berlapar

Katanya, selepas berjaya melarikan diri dari pertempuran itu, bapanya mengambil masa 10 hari untuk sampai ke Temerloh setelah melalui pelbagai cabaran seperti berlapar, berpanas serta ancaman keselamatan.

“Arwah emak, Halimah Yusof yang meninggal pada tahun 1988 berfirasat ayah masih hidup walaupun ramai mengatakan ayah mati dalam pertempuran menentang Jepun.

“Firasat emak benar apabila ayah muncul di Kampung Tebing Tinggi dan menjalani kehidupan biasa di sebuah rumah kayu yang masih kukuh hingga kini. Rumah kayu pusaka ini diperbuat daripada kayu keras cengal tidak makan anai-anai dan tidak dihanyutkan air banjir,” katanya.

ADNAN Yaakob menunjukkan rumah keluarganya di Kampung Tebing Tinggi, Sanggang di Temerloh, Pahang yang masih kukuh tanpa dimakan anai-anai walaupun terbiar tanpa penghuni sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, bapanya menghembuskan nafas terakhirnya pada 1996 di usia lebih 80 tahun meninggalkan legasi sejarah penting negara yang tidak ramai tahu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya