KEPALA BATAS: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Pongsu Seribu, di sini resah memikirkan nasib diri di samping anak perempuannya yang juga OKU untuk menjalani kehidupan seharian.
Nor Azwa Azmi, 41, berkata, kehidupannya bertambah perit apabila kaki kirinya terpaksa dipotong hingga paras betis empat tahun lalu ekoran menghidap penyakit kencing manis selain penyakit darah tinggi dan buah pinggang.
Jelasnya, segala urusan penjagaannya dan anak bongsu OKU yang cacat pada kedua-dua belah kaki sejak lahir, Nik Nurul Nabila Nik Hamzah, 14, banyak dilakukan ibunya, Wan Salmah Hashim, 65, serta anak lelaki sulungnya, Nik Nasrul Najmi Nik Hamzah, 21.
“Walaupun anak lelaki hanya kerja ambil upah harian, tapi ada lah sikit-sikit duit belanja. Itu pun banyak digunakan untuk membeli barang keperluan harian,” kata ibu dua anak itu ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Nor Azwa, meskipun mendapat bantuan kewangan dari Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM450 sebulan, ia masih belum mencukupi.
Ini kerana jelasnya, dia perlu mencari dana bagi pembiayaan kos pembedahan pada lengan kirinya sebanyak RM10,000 disebabkan mengalami kesan sampingan dialisis buah pinggang yang dialami sejak 2019.
“Pembedahan tersebut adalah untuk mengurangkan kesan sampingan yang dialami sekarang seperti jangkitan kuman selain bahagian muka dan kaki membengkak disebabkan proses dialisis dilakukan pada bahagian dada kanan.
“Kalau sudah bedah dengan memasangkan tiub pada lengan kiri akan mengurangkan kesan sampingan yang dialami dan doktor akan berhenti gunakan tiub pada dada ketika dialisis,” katanya.
Mengibaratkan kehidupannya sudah jatuh ditimpa tangga, Nor Azwa yang kini sedang berdepan masalah rumah tangga terpaksa meraih simpati jiran untuk urusan perjalanan ulang-alik ke Hospital Seberang Jaya; Hospital Kepala Batas dan Pusat Hemodialisis Zakat Kepala Batas bagi mendapatkan rawatan.
“Kadang-kadang kalau anak lelaki tak sempat nak hantar (ke hospital) saya terpaksa upah jiran atau pakai Grab. Memang sukar sebab tak mampu berjalan, ibu pula sudah tua. Nak tak nak, terpaksa minta bantuan orang lain,” katanya yang tidak bekerja dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda.
Selain itu tambahnya, bantuan kewangan oleh ZPP dan JKM banyak digunakan untuk membeli keperluan lampin dan susu khas anak perempuannya yang merupakan OKU cacat pada kedua-dua belah kaki sejak lahir pada setiap bulan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB miliknya 7021242540 atau hubungi Nor Azwa di talian 018-9405483. – UTUSAN