VTL Pulau Pinang-Singapura dijangka pertengahan bulan ini - Utusan Malaysia

VTL Pulau Pinang-Singapura dijangka pertengahan bulan ini

YEOH Soon Hin (kiri) ketika melancarkan Pepsi Escape Challenge di Escape Penang, Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Singapura dan Pulau Pinang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, segala persiapan pelaksanaan program itu termasuk persediaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah dijalankan dengan rapi.

“Pada masa ini secara prinsipnya kita difahamkan VTL udara antara Singapura dan Pulau Pinang akan dijalankan pada pertengahan Mac ini dan lampu hijau mengenainya telah diperoleh.

“Segala persiapan dijalankan untuk pelaksanaan VTL udara antara negeri ini dan Singapura,” katanya ketika ditemui di  Escape Penang, di sini hari ini.

Terdahulu, Soon Hin melancarkan Pepsi Escape Challenge di gelongsor air terpanjang di dunia itu sebagai salah satu tarikan terbaharu di taman tema air berkenaan.

Yang turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Sim Choo Kheng.

Pada Disember tahun lalu, Malaysia Aviation Group (MAG) menyatakan hasrat agar program  VTL udara antara Singapura dan Pulau Pinang dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mempercepat proses pemulihan ekonomi republik itu dan negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, permohonan cadangan VTL udara antara Singapura dan Pulau Pinang itu telah dikemukakan beberapa bulan lalu, namun keputusan mengenai pelaksanaannya masih belum diputuskan.

Dalam perkembangan lain, Choo Kheng berkata, selain gelongsor air terpanjang di dunia, pihaknya juga merancang melancarkan ‘zipcoaster’ terpanjang di dunia di taman tema tersebut.

“Kita juga merancang mengembangkan perniagaan di Kuala Lumpur dan Johor Baharu dan memperkenalkan Escape di lokasi pelancongan utama seperti Escape di Petaling Jaya dan di pusat membeli-belah lain di Lembah Klang,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya