UTM lahir lebih 200,000 graduan berkemahiran dalam tempoh 50 tahun - Utusan Malaysia

UTM lahir lebih 200,000 graduan berkemahiran dalam tempoh 50 tahun

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan meletakkan logo 50 tahun UTM sempena pelancaran sambutan berkenaan sambil diperhatikan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Ahmad Fauzi Ismail (kiri) di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan lebih 200,000 graduan sejak institusi pendidikan itu diisytihar sebagai Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) bertaraf universiti pada 14 Mac 1972.

Universiti berkenaan juga kini melahirkan seramai 8,956 graduan dalam Majlis Konvokesyen berbanding upacara pertama yang diadakan pada 1977 iaitu hanya seramai 65 graduan.

Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, pelbagai perancangan dan transformasi telah dilakukan bagi tujuan pembangunan UTM bermula daripada Rancangan Malaysia ketiga sehingga hari ini.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada UTM atas sambutan ulang tahun ke-50 ini kerana telah meninggalkan jasa dan sumbangan besar sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan sains, teknologi dan kejuruteraan yang tersohor di peringkat nasional, serantau dan global.

“Sepanjang tempoh saya menjadi Pro-Canselor dan Canselor UTM, saya dapati UTM sentiasa terkedepan dalam menyediakan tenaga kerja terlatih seiring dengan perkembangan ekonomi.

“Perkembangan pesat UTM sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang merupakan Canselor UTM ketika itu berkenan mengisytiharkan pembinaan kampus baharu UTM di Skudai meliputi kawasan seluas kira-kira 12,140 hektar.

“Kewujudan UTM di selatan tanah air telah menjadikan Johor sebagai pusat pendidikan penting kepada negara apabila telah merancakkan sektor pendidikan pengajian negara,” titah baginda.

Permaisuri Johor bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan 50 Tahun UTM di Dewan Sultan Iskandar, di sini hari ini. Berangkat sama, Pro-Canselor UTM, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail serta bekas Naib Canselor dan pegawai kanan universiti berkenaan.

UTM telah bertapak dalam sektor pendidikan negara sejak 1904, bermula dari Sekolah Teknik Treacher yang kemudiannya dinaik taraf kepada Maktab Teknik pada 1946. Institusi itu kemudiannya dinaik taraf kepada ITK berstatus universiti pada 1972.

Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Badlishah kemudian mengisytiharkan nama baharu buat institusi pendidikan berkenaan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya