sokongan Melayu

UMNO perlu tampil moden perkukuh sokongan di bandar

SUASANA ruang legar dalam tinjauan hari pertama Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO perlu tampil moden bagi melebarkan dan memperkasakan sokongan dalam kalangan orang Melayu terutama mereka yang tinggal di bandar.

Timbalan Presiden UMNO, Da­tuk Seri Mohamad Hasan berkata, strategi tersebut pen­ting selepas jumlah penyokong tegar UMNO semakin menyusut ekoran penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

Selain itu katanya, peningkatan teknologi maklumat dan proses modernisasi yang me­nembusi kawasan luar bandar antara faktor memerlukan UMNO tampil lebih moden.

“Sekadar untuk bersandar dengan penyokong tegar di luar bandar tidak memadai. Sumber kekuatan UMNO mesti melangkaui kawasan heartland Me­layu. Kerana Melayu telah lama berhijrah ke bandar dan kawasan Melayu juga telah banyak dibandarkan.

“Malangnya ita terus berhadapan kesukaran untuk menang di kawasan bandar meskipun pengundi Melayu adalah sangat ramai. Fenomena ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. UMNO itu bukan parti jaguh kampung. Hakikatnya, ia memodenkan Malaysia.

“Jadi mengapa ia gagal memikat nurani Melayu yang ia sendiri modenkan?” katanya dalam ucapan perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO hakikatnya be­lum pulih sepenuhnya daripada hukuman keras bangsa Melayu terhadap parti itu.

Menurutnya, penolakan orang Melayu terhadap UMNO telah mendatangkan dua kesan yang sangat penting.

Katanya, kesan pertama di­te­rima parti itu apabila hukuman tersebut melemahkan UMNO dan menyebabkan politik Melayu menjadi sangat berkecamuk.

“Selain itu, kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu meruncing. Jangan kita lupa sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah, banyak dasar yang diperkenalkan bertentangan de­ngan kepentingan bangsa Melayu.

“Kedudukan orang Melayu juga meleset sehinggalah ak­hirnya setelah 22 bulan, orang Melayu sedar bahawa PH tidak boleh menjadi wakil yang dipercayai dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama,” katanya.

Mohamad dalam masa yang sama turut menyarankan agar orang Melayu dan UMNO kembali berpaut dengan menaungi satu sama lain.

“Jangan kita nafikan, orang Melayu perlukan kekuatan politik melalui parti politik yang dominan. Yang ideologinya ialah nasionalisme Melayu dan perjuangan Islamnya adalah bersifat berkemajuan.

“Yang nyatanya juga, UMNO sangat memerlukan dukungan bangsa Melayu. Tergalas di pundak UMNO tanggungjawab melindungi bangsa, menjadi ju­rucakap dan mencari pencerahan untuk bangsa,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN