IPOH: Umat Islam dinasihatkan menjaga kesihatan buah pinggang bagi mengelakkan ia rosak demi mendapatkan kesihatan yang baik.
Dalam khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sempena Hari sambutan Buah Pinggang Sedunia pada 10 Mac lalu, masyarakat dinasihat agar mengamalkan gaya hidup sihat bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan baik.
Khutbah menekankan mengenai pentingnya amalan gaya hidup yang baik dan sihat kerana kesihatan yang baik dapat menambah kesempurnaan dan kekhusyukan melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, serta haji.
“Gaya hidup baik dan sihat bermaksud menjaga batasan syariat pemakanan, menjalani kehidupan yang aktif dan mencegah serta melindungi diri daripada gejala penyakit. Islam mengutamakan keseimbangan penjagaan rohani dan jasmani agar terbinanya umat Islam yang cerdas fikiran dan kuat jasmaninya untuk membangunkan ummah dan memajukan watan,” jelas teks khutbah JAIPk.
Kandungan teks khutbah memberikan fakta betapa saban tahun bilangan rakyat negara ini yang menderita penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat di mana ketika ini dilaporkan terdapat hampir 50,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang menjalani rawatan dialisis.
Keadaan itu sangat membimbangkan kerana merawat pesakit buah pinggang memerlukan belanja yang tinggi.
Belanja rawatan dialisis yang diperlukan oleh setiap pesakit mencecah RM2,900 sebulan, atau hampir RM35,000 setahun.
“Buat masa ini, MAIPk membiayai perbelanjaan rawatan dialisis seramai 576 orang asnaf, melibatkan hampir RM17 juta setahun. Perbelanjaan terus meningkat tahun demi tahun, disebabkan pesakit terus bertambah dan belanja rawatan pula semakin meningkat mahal,” jelas teks itu.
Bagi mengelakkan orang ramai mengalami kerosakan buah pinggang, masyarakat dinasihat mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya mengawal berat badan, pengambilan makanan secara sihat serta melakukan saringan atau pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Selain itu elakkan mengambil jamu, herba, ubat-ubat tradisional dan vitamin secara berlebihan tanpa mendapat nasihat doktor kerana bahan-bahan tersebut yang diambil secara berlebihan akan memaksa buah pinggang untuk bekerja lebih daripada sepatutnya,” katanya. – UTUSAN










