Tuntutan RM62.59 bilion waris Sulu tidak sah

Tuntutan RM62.59 bilion waris Sulu tidak sah

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan dikeluarkan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa supaya Malaysia membayar pampasan sebanyak RM62.59 bilion adalah tidak sah dan diputuskan dengan sewenang-wenangnya serta tidak berlandaskan undang-undang. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tuntutan waris Sultan Sulu yang meminta Malaysia membayar pampasan, tidak sah selepas Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021 membatalkan pelantikan Stampa.

“Mahkamah Madrid turut memutuskan Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan Penimbang Tara tersebut yang bertarikh 25 Mei 2021 terbatal sekali gus segala keputusan yang dibuat adalah tidak sah.

“Memandangkan lantikan Stampa dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).

Ahmad bertanyakan tentang arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis dan ingin tahu apakah Malaysia telah menghantar wakil atau melantik peguam di Perancis bagi tujuan bantahan.

Menurut Wan Junaidi, berhubung kes itu, kerajaan melantik peguam di Sepanyol dan Perancis bagi tujuan menangani segala tuntutan waris Sultan Sulu yang dibuat terhadap Malaysia.

“Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan itu kerana sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan identiti penuntut diragui dan belum disahkan.

“Namun, ingin ditekankan sekali lagi bahawa kerajaan tidak berdiam diri tetapi telah mengambil tindakan sewajarnya seperti yang saya nyatakan bagi memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli melalui tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol dan di Paris.

“Kerajaan sentiasa peka dan bersedia mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan Final Award yang tidak sah tersebut di bawah New York Convention sekiranya dilaksanakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana juga bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN