NADMA bina pusat pemindahan kekal di Bongawan

NADMA bina pusat pemindahan kekal di Bongawan

AHMAD Zahid ditemui media ketika berada di Kampung Mook, Papar, hari ini. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membina pusat pemindahan mangsa banjir kekal di Bongawan dekat sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lokasi pusat itu akan dibincang dengan kerajaan Sabah dan Pegawai Daerah dalam waktu terdekat.

“Bongawan, antara kawasan yang kerap dilanda banjir dan sesuai dibina kemudahan itu yang dilengkapi kemudahan bilik air serta tempat masak untuk memudahkan sukarelawan menjalankan tugas.

“Pusat itu akan diguna untuk kegiatan komuniti setempat pada luar musim banjir,” katanya ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kawasan dilanda banjir di Kampung Mook, Papar, hari ini.

Beliau berkata, daerah lain juga akan dibina pusat kekal seumpama itu, tertakluk peruntukan yang disalurkan kementerian kewangan nanti.

“Kerajaan Pusat juga akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah menyediakan rumah baharu kepada mangsa banjir yang kediaman mereka rosak teruk atau musnah sama sekali oleh musibah itu.

“Bagi rumah penduduk yang tidak musnah dan masih boleh didiami, kerajaan akan bantu pemiliknya membaiki kemudahan itu,” katanya.

Buat masa ini, pihaknya sedang meneliti senarai rumah yang rosak dan musnah untuk pembaikan atau pembinaan semula.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan bermesyuarat menentukan mangsa banjir layak menerima rumah mesra SMJ dibiayai kerajaan Sabah atau rumah dibiayai kerajaan Pusat.

Katanya, semua agensi termasuk NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Negeri dan Daerah terus memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi banjir di Sabah.

Beliau berkesempatan turun pada dan mendengar sendiri keperluan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lancar.

“Semalam saya berkesempatan melawat ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Putatan termasuk PPS SMK Petagas, PPS Dewan PPR Taman Sri Keramat, PPS Seringai dan PPS Meruntum.

“Setakat ini, tujuh daerah di Sabah terjejas dan semua agensi termasuk NADMA, JPB Negeri serta Daerah terus memperkukuh kesiapsiagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN