KUALA SELANGOR: Cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di sebuah kandang lembu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa gagal sebelum dicekup di pesisir pantai Tambak Jawa, Jeram di sini hari ini.
Lima lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 54 tahun dari Tanjung Balai, Indonesia itu baru tiba di negara ini dengan menaiki bot.
Taktik menyusup masuk dengan bersembunyi di kandang berdekatan hutan paya bakau itu bagaimanapun dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang memberkas mereka, pukul 7.45 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, perkara itu dikesan pihaknya ketika melakukan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, kesemua PATI itu ditemukan di kandang lembu berpagar di pesisiran pantai yang dianggap mereka mudah untuk bersembunyi.
“Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah. Mereka masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rizal, siasatan mendapati semua warga asing itu membayar kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 untuk masuk ke negara ini.
“Mereka mendakwa mahu bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu rumah. Siasatan awal mendapati mereka datang dari Tanjung Balai namun dua kampung yang berbeza,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN










