Tetak peguam: Buruh dipenjara, denda - Utusan Malaysia

Tetak peguam: Buruh dipenjara, denda

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang buruh yang sebelum ini didenda selepas mengaku bersalah atas tuduhan menetak kepala dan tangan kiri seorang peguam yang menegurnya kerana tidak memakai pelitup muka awal bulan lalu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara setahun berkuat kuasa hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Collin Lawrence Sequerah turut meminda hukuman denda RM5,000 yang sebelum ini dikenakan oleh Mahkamah Majistret Selayang dengan menaikkan jumlah tersebut kepada RM10,000.

Gagal membayar denda baharu itu, hukuman penjara terhadap M. Samasiveng, 57, boleh ditambah lagi 12 bulan.

Hakim tersebut membuat keputusan tersebut selepas menyemak semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret pada 11 Mac lalu.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika denda gagal dibayar”, katanya.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang mengenakan denda RM5,000 atau penjara 11 bulan jika gagal bayar denda tersebut terhadap Samasiveng kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri Gurcharan Singh, 60, menggunakan parang.

Lelaki terbabit sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berada di kaunter pasar raya tersebut untuk membuat bayaran, dia telah menegur seorang lelaki iaitu tertuduh yang tidak memakai pelitup muka sambil merokok untuk masuk ke pasar raya itu.

Selepas mangsa keluar dari pasar raya, tertuduh kemudian telah memarahi mangsa selain bertindak mengambil sebilah parang dari kereta dan menetak di bahagian kepala dan tangan kiri mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Isa Mohamed menghujahkan bahawa tindakan tertuduh adalah sesuatu yang dirancang kerana berdasarkan fakta kes Samasiveng telah ke keretanya untuk mengambil parang sebelum menunggu mangsa di kaki lima pasar raya.

Bagaimanapun, peguam bela, T.P Aravind Raj memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya itu dengan mengambil kira faktor umur tertuduh yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya