PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan disebabkan sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penyelaras Reset Selangor, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali berkata, dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak menggambarkan kedudukan sebenar ketika pemilihan Bersatu pada 2024.
Menurut beliau, pelantikan Hamzah sebagai Timbalan Presiden Bersatu ketika itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sokongan terhadapnya dalam kalangan ketua bahagian ketika itu amat tinggi.
“Semasa pemilihan Bersatu tahun 2024, sokongan ketua-ketua bahagian kepada Hamzah amat tinggi.
“Perlu ingat bahawa bilangan yang menandatangani surat berkait succession sahaja sudah 120 ketua bahagian.
“Itu pun belum dicampur sokongan sayap-sayap lagi dan belum masukkan ketua bahagian yang tidak sempat didekati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaimi berkata, berdasarkan sokongan tersebut, beliau bersama beberapa ketua bahagian berpandangan Hamzah mempunyai peluang besar sekiranya bertanding jawatan Presiden Bersatu menentang Muhyiddin.
Bagaimanapun, katanya, Muhyiddin kemudian mengumumkan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu.
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat bagi mengekalkan kedudukan Muhyiddin susulan kemerosotan sokongan dalam kalangan bahagian terhadap kepemimpinannya.
“Saya berpandangan apa yang Muhyiddin lakukan ialah menyelamatkan diri sendiri.
“Beliau takut untuk membiarkan pencalonan terbuka kerana sedar kalau bertanding, beliau sendiri pun akan kalah,” katanya.
Suhaimi berkata, Muhyiddin didakwa telah menggunakan kedudukannya bagi memastikan jawatan presiden tidak dipertandingkan.
Katanya, keadaan itu membuktikan Hamzah bukan naik kerana sokongan Muhyiddin, sebaliknya Muhyiddin yang mengekalkan kedudukannya dengan menghalang ahli membuat pilihan secara terbuka.
“Maka sebenarnya bukan Hamzah naik sebab endorsement Muhyiddin.
“Tapi Muhyiddin yang mengekalkan kedudukan dengan menghalang ahli-ahli memilih. Jika ada pemilihan, Muhyiddin sendiri akan kalah,” katanya. – UTUSAN










