PETALING JAYA: Pembukaan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bermula 21 Mac ini secara bersemuka, penggiliran dan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) telah mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan murid.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin kerana mengambil kira pelbagai aspek.
Katanya, campuran strategi pelaksanaan pembukaan sekolah sesi baharu bermula 21 Mac ini secara bersemuka, penggiliran dan juga PdPR telah mengambil kira situasi semasa khususnya dalam mendepani pengoperasian sekolah dalam keadaan endamik.
“Bagi pihak i-GURU, pengumuman oleh Menteri Pendidikan telah mengambil kira semua situasi dan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan murid. Segala perancangan kementerian juga bertepatan dengan situasi semasa yang memerlukan perancangan rapi.
“Contohnya PdPR yang dijalankan untuk sekolah menengah bermula 21 Mac hingga 3 April. Langkah berkenaan diyakini bagi memberi laluan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 menduduki peperiksaan sehingga 29 Mac,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Radzi mengumumkan, sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah di seluruh negara akan tetap dibuka bermula 21 Mac ini dengan ada murid yang perlu hadir secara bersemuka, penggiliran dan mengikuti proses PdPR.
Radzi berkata, bagi peringkat rendah dengan murid melebihi 600 orang, murid yang hadir tanpa penggiliran adalah murid berkeperluan khas (MBK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 dan semua murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Beliau berkata, murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula akan hadir secara penggiliran dan ketetapan sama turut terpakai bagi sekolah swasta, ekspatriat dan antarabangsa.
Selain itu kata Radzi, bagi peringkat menengah pula, pelajar akan menjalani PdPR bermula 21 Mac ini selama dua minggu dan semua pelajar akan hadir secara bersemuka bermula pada 4 April tanpa penggiliran bagi semua tingkatan, pra-universiti dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
Mengulas lanjut Mohd Azizee berkata, keputusan kementerian memberi keutamaan kepada murid prasekolah dan Tahun 1 untuk hadir ke sekolah untuk sesi bersemuka amat wajar kerana mereka dilihat ketinggalan dalam penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang merupakan asas kepada proses pembelajaran seterusnya.
Selain itu kata beliau, pihak sekolah juga diminta melakukan pemantauan dan memastikan semua murid dan juga warga pendidik mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, vaksinasi pelajar yang belum sampai ke tahap memuaskan berkemungkinan menjadi faktor penggiliran masih dijalankan untuk sesi persekolahan bermula 21 Mac ini.
“Apa yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan adalah untuk kebaikan semua dan beliau juga mungkin telah diberikan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan. Kita tidak mahu anak-anak dan juga warga pendidik diletakkan risiko untuk pembukaan secara menyeluruh untuk sesi persekolahan.
“Jadi, ini (penggiliran dan PdPR) merupakan satu langkah yang wajar semasa kes semakin meningkat sekarang. Memang kita mahu masuki fasa endamik, tetapi ia (sesi persekolahan) perlu dibuat secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan dapat membuat perancangan terbaik bagi memastikan perjalanan peperiksaan SPM bagi sidang kedua pada April ini berjalan lancar. – UTUSAN











