PETALING JAYA: Penghuni di 22 buah kediaman sekitar Taman Bukit Permai, Ampang, yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh minggu lalu, mula mengosongkan rumah mereka.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Samat menjelaskan, perkara itu membabitkan penghuni di Jalan Teratai 1/2J, Jalan Teratai 1/2K, Jalan Mega Jaya, Taman Mega Jaya dan Taman Bukit Permai 1.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kediaman membabitkan penghuni di Taman Bukit Permai 1 diikuti Jalan Teratai 1/2J (empat rumah); Jalan Mega Jaya, Taman Mega Jaya (dua rumah) dan Jalan Teratai 1/2K (sebuah rumah).
“Secara purata, terdapat empat orang penghuni yang tinggal di dalam setiap kediaman yang dikosongkan,” katanya di sini.
Menurut beliau, pihaknya menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di lokasi berhampiran.
Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan kerana memilih tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa.
“PPS itu sentiasa dibuka untuk penduduk yang mahu tinggal sementara di situ,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr. Ani Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pengosongan kediaman perlu dilakukan secepat mungkin atas faktor keselamatan.
Jelas beliau, taklimat diberikan kepada penduduk kelmarin agar kediaman mereka dikosongkan.
“Kita minta mereka berbuat demikian segera. Agensi keselamatan juga akan memantau keselamatan di sana,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 80 penduduk daripada 22 unit rumah di Jalan Teratai 1 dan Jalan Teratai 2 di Taman Bukit Permai diarahkan mengosongkan kediaman susulan kerja kajian tanah secara terperinci yang dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini.
Kajian itu membabitkan kerja-kerja siasatan tapak runtuhan selain mengenal pasti keadaan cerun bagi mengetahui sama ada kawasan tersebut selamat diduduki atau sebaliknya.
Kajian juga bagi mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan di tapak runtuhan terbabit.
Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan serta kerja pengukuhan sementara turut dilaksanakan.
Jelas Ani, ini termasuk kerja-kerja pembaikan cerun dan kesemua kajian itu akan dilaksanakan MPAJ, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta IKRAM.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jangka masa sebenar proses itu dijalankan.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Khamis lalu meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. – UTUSAN