ALOR GAJAH: Nelayan di Pantai Telok Gong dekat sini menafikan dakwaan kononnya mereka membuang ratusan ikan Tamban Pias ke laut kerana tidak mempunyai nilai komersial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang nelayan, Daud Yusof, 49, berkata, dakwaan kerajaan negeri itu tidak berasas kerana menuduh kumpulan nelayan sebagai punca berlakunya lambakan bangkai berkenaan.
Jelasnya, ini kerana setiap ikan bersaiz kecil atau spesies yang tidak dimahukan akan dilepaskan semula ke laut sementara ikan yang mati akan ditanam.
“Nelayan di pantai ini jarang menangkap spesies tersebut dan peralatan kami juga tidak sesuai. Kami sebagai penduduk Telok Gong juga sangat menjaga kebersihan pantai kerana lokasi ini adalah tumpuan pelancong.
“Tidak mungkin kami mahu mengotorkan pantai sendiri. Tambahan pula kuantiti bangkai ikan yang terdampar itu terlalu banyak untuk nelayan buang begitu saja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada Ahad lalu, akhbar ini melaporkan, penduduk di Telok Gong gempar apabila ratusan ikan Selangat dan Tamban ditemukan terdampar di sepanjang pesisir pantai di kawasan itu kira-kira tiga kilometer.
Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menjelaskan, hasil kajian makmal terhadap sampel bangkai ikan tidak menemukan sebarang faktor pencemaran alam sekitar, sebaliknya dipercayai hasil laut itu telah dibuang nelayan.
Tambah Daud, setiap hasil laut ada nilai pasarannya tersendiri dan nelayan tahu kepada siapa ia harus dijual.
Justeru katanya, alasan kerajaan negeri mengatakan ikan itu tidak ada nilai komersial adalah tidak tepat.
“Setiap jenis ikan ada pelanggan tegarnya. Kami kenal pelanggan yang sanggup membeli ikan ini. Bagi nelayan, setiap ikan yang ditangkap adalah rezeki.
“Kalau hendak buang lebih baik jangan turun ke laut. Ikan Tamban Pias berukuran dua inci pun boleh dijadikan ikan masin, jadi mengapa kami perlu buang ikan itu?” Soalnya. – UTUSAN










