Jadi lelaki lembut dalam filem Libang Libu, saya pernah bawa watak begitu sampai menang anugerah - Utusan Malaysia

Jadi lelaki lembut dalam filem Libang Libu, saya pernah bawa watak begitu sampai menang anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus, sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan watak lelaki tua berperwatakan lembut dalam filem Libang Libu arahan Bobby Husaini.

Menurut Sabri, penglibatannya dalam filem tersebut bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal, sebaliknya bermula daripada perkembangan sebuah watak yang telah lama diwujudkan oleh pengarah berkenaan.

“Watak itu sebenarnya sudah lama dicipta untuk sebuah filem, tetapi ketika itu belum pasti bila penggambaran akan dilakukan. Jadi apabila Bobby mendapat peluang menghasilkan iklan raya, dia memasukkan watak tersebut ke dalam iklan itu terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Sabri, apabila projek filem tersebut akhirnya direalisasikan, watak berkenaan dikembalikan kepada tujuan asalnya, sekali gus membuka ruang buat dirinya untuk terlibat secara lebih serius dalam naskhah tersebut.

“Apabila dia buat filem, tentulah dia kembali kepada niat asal. Jadi itulah sebabnya kenapa saya terlibat dalam filem ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sabri turut berkongsi bahawa minatnya terhadap watak tersebut begitu mendalam sehingga beliau secara berseloroh menyifatkan dirinya sebagai ‘membayar’ untuk mendapatkan peranan itu.

“Saya bukan dibayar untuk watak itu, tetapi saya yang ‘bayar’ untuk mendapatkannya. Maksudnya, saya benar-benar mahukan watak tersebut kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Sabri mengakui pernah membawa watak seumpama itu sebelum ini, namun hanya dalam skala kecil menerusi sebuah telemovie.

“Saya pernah bawa watak sebegitu, tetapi sedikit sahaja dalam telemovie Kampung Semarah Padi Disumpah Menjadi Lembut. Alhamdulillah, melalui watak itu saya memenangi anugerah pertama dalam kategori komedi,” katanya lagi.

Justeru, peluang membawakan watak yang lebih besar dalam Libang Libu memberikan kepuasan yang berbeza buat dirinya sebagai pelakon.

“Bila dapat bawa watak ini dengan lebih besar, saya lebih seronok. Kalau penonton rasa seronok, saya yang melakonkan ini lagi seronok,” katanya.

Menurut Sabri, kunci utama dalam menjayakan sesuatu watak komedi adalah keikhlasan pelakon itu sendiri dalam menikmati peranan yang dibawa.

“Untuk menghiburkan orang, kita sendiri mesti seronok dahulu. Bila kita seronok, barulah penonton boleh rasa dan turut terhibur,” katanya.

Filem Libang Libu dijangka menampilkan sisi berbeza Sabri Yunus sebagai pelakon versatil yang terus relevan dalam industri seni tanah air, khususnya dalam membawakan watak-watak yang dekat dengan jiwa masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN