DUBAI: Hotel Burj Al Arab yang ikonik dengan reka bentuk menyerupai layar kapal, kini ditutup secara rasmi bagi menjalani kerja-kerja pemulihan selama 18 bulan, menurut pengesahan pemiliknya pada Selasa.
Penutupan hotel yang kos pembinaannya sehingga AS$1 bilion (RM3.95 bilion) itu berlaku ketika rantau berkenaan sedang berdepan dengan penurunan mendadak sektor pelancongan ekoran peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.
Jumeirah Group, syarikat hospitaliti yang berpangkalan di Dubai memaklumkan bahawa projek pengubahsuaian secara berfasa itu merupakan yang pertama buat hotel berkenaan sejak ia dibuka pada tahun 1999.
Projek tersebut akan diterajui oleh arkitek dalaman terkemuka dari Paris, Tristan Auer. Ia terkenal dengan hasil kerjanya memulihkan hartanah warisan termasuk Hotel de Crillon di Paris.
Seorang kakitangan hotel mengesahkan kepada Reuters bahawa premis tersebut akan ditutup sepanjang tempoh kerja dijalankan. Pihak pengurusan turut menawarkan penginapan alternatif di hotel-hotel berdekatan bagi tetamu yang telah membuat tempahan awal. Namun, tempoh penutupan berkenaan masih tertakluk kepada sebarang perubahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jumeirah, Thomas B. Meier menyifatkan projek tersebut bukan sekadar naik taraf fizikal.
“Jumeirah Burj Al Arab adalah lebih daripada mercu tanda seni bina. Ia adalah simbol cita-cita, ketukangan dan kecemerlangan yang berterusan,” katanya sambil menyifatkan pengubahsuaian itu sebagai bab baharu yang akan memelihara warisan hartanah tersebut dengan teliti. – AGENSI










