Tahanan warga Indonesia maut dipercayai sesak nafas - Utusan Malaysia

Tahanan warga Indonesia maut dipercayai sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mengenai kematian seorang lelaki warga Indonesia yang juga Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pusat, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak semalam.

OKT yang berusia 48 tahun itu ditangkap mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital selepas mengadu sesak nafas.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, OKT sudah dituduh pada 1 Mac lalu dan ditempatkan sementara di lokap terbabit.

Bagaimanapun kata beliau, OKT mengadu sesak nafas dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

“Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN