Sungai di Selangor selamat berada pada Tahap 1, 2

Sungai di Selangor selamat berada pada Tahap 1, 2

AMIRUDIN SHARI (berdiri, kiri) bersama Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Salim Soib @ Hamid menyaksikan wakil dari agensi berkaitan yang menandatangani MOU bersama LUAS di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sungai di Selangor didakwa berada pada tahap selamat iaitu pada Tahap 1 dan 2, namun terdapat kawasan dikenal pasti berada pada Tahap 3 seperti di Sungai Klang dan hulu Sungai Langat.

Bagaimanapun, keadaan air di kawasan tersebut dikatakan mampu dirawat oleh Loji Rawatan Air (LRA) yang ada di negeri ini untuk dijadikan air bersih dan diagih kepada pengguna.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebanyakan bacaan air di kawasan sepanjang lembangan sungai berada pada bacaan 89 iaitu berkeadaan baik.

“Tadi daripada laporan diterima, ada dua kawasan berada pada tahap sederhana, kawasan itu adalah di Sungai Klang dan sebahagian kecil di hulu Sungai Langat, dua kawasan itu sahaja yang lain-lain ada sampai tahap 89 yang boleh kita anggap sebagai kawasan yang baik.

“Itupun, kalau ikut kriteria yang ditetapkan oleh JAS, bahawa tahap air sederhana atau yang dipanggil sebagai Tahap 3, sudah boleh diabstrak atau dirawat untuk air bersih. Tetapi sudah pasti memerlukan proses rawatan yang lebih tinggi kosnya berbanding dengan air pada Tahap 1 dan 2,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Kerjasama Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air antara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan agensi berkepentingan hari ini.

Agensi berkenaan adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Landasan Lumayan Sdn Bhd.

Namun, beliau tidak menolak risiko pencemaran untuk terus berlaku, walau bagaimanapun menjelaskan beberapa langkah diambil seperti penubuhan Skuad Pantas yang membuat kawalan 24 jam sejak 2020 serta pemeteraian MOU pada hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sudahpun menguatkuasakan pewartaan rizab sungai sepanjang 50 meter dari tebing bagi mengawal sebarang pembinaan atau pembangunan di kawasan tersebut.

“Pewartaan 50 meter dari sungai sudah dilakukan sejak zaman Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, sebab itu ketika perancangan pembangunan dibuat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), LUAS akan memberikan ulasan dan biasanya kalau melepasi rizab sungai, JPS dan LUAS akan tolak.

“Tetapi, dalam masa sama kita kena sedar juga, PBT telah membangunkan satu konteks bagaimana pembangunan tebing sungai dibuat, maknanya masih boleh tetapi ada syarat yang ketat perlu dipatuhi,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia mendedahkan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang memberi sumber bekalan air kepada lebih 90 peratus pengguna di Selangor dan Lembah Klang berhadapan risiko pencemaran apabila terdapat banyak kilang dan kawasan perumahan berhampiran sungai.

Sehubungan itu, penyelidik dan Pegawai Penyelidik Projek Water Warriors Universiti Malaya (UM), Affan Nasaruddin menafikan laporan Indeks Kualiti Air (IKA) daripada Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, apabila indikasinya tidak mengambil kira kandungan logam berat dan bakteria dalam air. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN