JOHOR BAHRU: Sudah agak terlambat buat semua parti bergabung bagi menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika dua hari lagi rakyat di negeri ini akan keluar mengundi.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serius mengenai perkara itu, ia seharusnya dibincangkan lebih awal lagi.
Beliau berkata, adalah tidak adil buat parti lain yang sudah meletakkan calon masing-masing serta menggerakkan jentera bagi mendekati pengundi di negeri ini.
“Saya faham mungkin tujuannya nak menyatukan pengundi-pengundi yang tidak menyokong BN, sebelum ini ada yang berkata undi pembangkang harus disatukan.
“Saya kira agak terlambat untuk kita nak gabungkan ini, dan kenapa pula nak sokong calon dia sahaja. Tak aci la macam tu, kami pun bertanding juga,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media PRN Johor di Hotel Grand Paragon di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bersama Pengarah Komunikasi PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Muda yang menyeru pengundi hanya mengundi calon PH dan Muda.
Mukhriz berkata, konsep ‘khemah besar’ yang dicadangkan oleh PH itu tidak menjadi apabila hanya Muda yang menyertai gabungan tersebut.
Kata Ahli Parlimen Jerlun itu, konsep itu juga mengelirukan pengundi apabila menggunakan tiga logo iaitu logo PH manakala PKR dan Muda menggunakan logo parti masing-masing.
“Keadaannya tidak sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila kami bertanding di bawah satu lambang iaitu logo PKR yang mewakili PH. Ke mana-mana sahaja kami guna logo satu, jadi tak ada beza,” katanya.
Sementara itu, Pejuang menawarkan enam perkara sebagai manifesto tambahan bagi menjamin kepentingan rakyat sekiranya memperoleh majoriti mudah pada PRN Johor.
Antaranya menawarkan 20 peratus daripada gaji Menteri Besar dimasukkan ke tabung kebajikan dan pendidikan rakyat Johor selain kereta rasmi kerajaan tidak boleh digunakan untuk kerja politik dan peribadi.
Selain itu, Mukhriz berkata, Menteri Besar akan memegang portfolio pengurusan pertanian dan luar bandar yang lebih sinonim dengan kebajikan rakyat berpendapatan rendah. – UTUSAN