Sudah jemu duduk pusat pemindahan

Sudah jemu duduk pusat pemindahan

ANAK lembu yang dipindahkan ke dalam rumah oleh penduduk yang terjejas banjir di Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang mangsa banjir di Lorong Mesra, Batu 7, Jalan Changkat Jong di sini, terpaksa memindahkan anak lembu peliharaannya ke dalam rumah berikutan kawasan kandang di belakang rumahnya dinaiki air, kelmarin.

Jeffri Darus, 36, berkata, dia berbuat demikian untuk menyelamatkan anak lembu peliharaannya itu daripada dihanyutkan banjir yang melanda kawasan tersebut mulai malam kelmarin.

“Air naik terlalu cepat disebabkan hujan lebat. Banjir disebabkan limpahan air Sungai Bidor di belakang penempatan penduduk di sini.

“Saya terpaksa selamatkan anak lembu yang dipelihara di belakang rumah. Ada lapan ekor yang saya ternak, seekor anak lembu. Yang lain-lain sudah besar.

“Saya bawa anak lembu ke dalam rumah kerana bimbang dihanyutkan air banjir manakala yang lain-lain masih di belakang rumah. Semuanya lembu tua dan berat, tak mungkin dihanyutkan air,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berhubung banjir di lorong berkenaan, Jeffri berkata, kawasan itu memang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat dipercayai berpunca daripada air Sungai Bidor yang melimpah.

“Biasanya jika hujan tiga jam, kawasan inidinaiki air. Penduduk sudah kerap menghadapi masalah ini menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian kerosakan harta benda,” katanya.

Menurutnya, penduduk terlibat berharap kerajaan mempercepat cadangan memindahkan mereka ke penempatan baharu di Batu 14, Kampung Ayer Hitam dekat sini.

“Memang penduduk di sini mahu berpindah kerana kami sudah tidak mampu lagi menghadapi banjir.

“Kami tak mahu anak-anak kami selepas ini menghadapi masalah yang sama. Kami sudah bosan duduk di pusat pemindahan setiap kali banjir,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Izan Rahman, 48, berkata, masalah banjir yang tidak selesai menyusahkan penduduk apatah lagi dia menjaga orang tua yang uzur.

Menurutnya, kawasan kampung mereka berada di kawasan rendah, menyebabkan limpahan air Sungai Bidor cepat masuk ke kampung itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN