Isu Palestin antara agenda Dewan Rakyat hari ini

PARLIMEN: Isu Palestin antara agenda Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia khususnya terhadap Palestin menjadi antara tumpuan utama pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab meminta Menteri Luar menjelaskan perubahan utama dalam pendirian dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam khususnya berkaitan situasi di Palestin.

Sementara itu, Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai tahap kesiapsiagaan serta perkembangan ekosistem pasaran dagang karbon negara.

Beliau turut meminta penjelasan berhubung jumlah memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang telah dimeterai kerajaan dalam pasaran kredit karbon berdasarkan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Dalam pada itu, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) meminta Perdana Menteri menjelaskan sebab pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, termasuk Kampung Baru, berdepan pelbagai cabaran, serta sejauh mana faktor seperti pemilikan tanah bertindih dan nilai pasaran terhad menyumbang kepada isu berkenaan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Sementara itu, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) bertanya kepada Menteri Pertahanan sama ada kementerian berkenaan telah menjalankan sebarang kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) setakat ini.

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, sebelum disusuli tiga sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Antara sesi berkenaan termasuk penerangan mengenai insiden letupan gas di Putra Heights oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

Selain itu, potensi serta hala tuju sumber air bawah tanah di Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan serta isu penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN