PROJEK Kampung Angkat Madani di Kampung Batu 8, Bendang Siam ialah sebuah inisiatif bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas, peningkatan infrastruktur dan pemerkasaan komuniti setempat menerusi hasil sentuhan warga Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).
Sebanyak 14 projek naik taraf dan pembinaan telah berjaya disiapkan sepanjang tahun 2025 pelaksanaannya di Masjid Al-Wusta, Sekolah Kebangsaan Changkat Ibol dan Kampung Bendang Siam melibatkan seramai lebih 1,000 pensyarah dan pelajar daripada 25 buah institusi POLYCC seluruh negara.
Konsep on job training dalam pelaksanaan projek ini diterjemahkan menerusi pemindahan ilmu dan teknologi praktikal oleh para pensyarah dan pelajar POLYCC mengikut kepakaran bidang masing-masing selaras dengan antara fokus utama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun ini iaitu pemindahan dan perkongsian ilmu.
Terdapat empat projek utama yang telah dirancang iaitu menaiktaraf dan melestarikan landskap, pembinaan gazebo, pendawaian elektrik rumah kediaman dan asas membaiki rumah. Projek ini juga bertujuan untuk menaiktaraf dan menambah baik kemudahan rekreasi dan kediaman serta infrastruktur kampung.
Ia turut memberi peluang latihan dan kemahiran asas kepada penduduk setempat serta pendedahan kepada para pelajar POLYCC. Disamping itu, sebanyak 21 buah rumah penduduk daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) telah berjaya dibaiki.
Turut dilaksanakan adalah pemulihan serta rawatan kolam desa di Kampung Bendang Siam melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) POLYCC. Kolam tersebut kini berfungsi bukan sahaja sebagai habitat ikan tetapi juga sebagai ruang rekreasi kepada masyarakat setempat dan pelancong.
Kami berharap agar segala projek dan inisiatif ini yang telah dilaksanakan dapat meningkatkan tahap kesejahteraan serta memperkasa komuniti setempat. – UTUSAN
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI










