Skim Insurans Keluarga Malaysia bakal beri manfaat 268,000 keluarga miskin  - Utusan Malaysia

Skim Insurans Keluarga Malaysia bakal beri manfaat 268,000 keluarga miskin 

ISMAIL Sabri Yaakob merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan bersetuju menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah skim tersebut, ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans berkenaan.

Katanya, ia membabitkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun dan melibatkan kos sebanyak RM13.4 juta.

“Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal pula sebanyak RM10,000 manakala yang meninggal dunia akibat kemalangan sebanyak RM20,000.

“Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, siri jelajah tersebut yang berlangsung selama tiga hari di Perlis menyediakan pelbagai program menarik bagi memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia ini.

“Seperti siri jelajah pertama, pelbagai program disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Saya yakin setiap lapisan masyarakat sudah sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya ialah menyatupadukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi serba mencabar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam ucapan tersebut meluluskan peruntukan RM5 juta untuk kajian kemungkinan pembinaan jeti baharu di Kuala Perlis.

“Untuk kajian kemungkinan tersebut memerlukan RM5 juta dan saya luluskan RM5 juta itu. Selepas kajian kemungkinan tersebut selesai, kemungkinan bina jeti baharu di Kuala Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN