GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Dengan nada sebak merayu Israel menunjukkan belas kasihan dalam konflik di Gaza.
Beliau menegaskan keamanan adalah demi kepentingan Israel sendiri, yang kini dikecam semakin banyak negara kerana kekejaman yang berlaku di Gaza.
Dalam ucapan penuh emosi pada Perhimpunan Tahunan WHO, Tedros menyifatkan perang itu hanya ‘melukakan’ Israel dan tidak akan membawa penyelesaian berkekalan.
“Saya dapat rasakan apa yang dirasai rakyat Gaza ketika ini. Saya boleh menghidu, membayangkannya, malah mendengar bunyinya.
“Anda boleh bayangkan betapa sengsaranya rakyat. Ia benar-benar salah apabila makanan dijadikan senjata. Sama juga apabila bekalan perubatan dimanipulasi dalam peperangan.
“Ini semua kerana PTSD (gangguan tekanan pasca trauma),” kata Tedros, 60, yang sering mengimbas pengalaman hidupnya ketika zaman perang di Ethiopia.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mula mengagihkan kira-kira 90 buah trak bantuan, penghantaran pertama ke Gaza sejak Israel mengenakan sekatan penuh pada 2 Mac lalu.
Tedros menegaskan hanya penyelesaian politik mampu membawa keamanan yang bermakna.
“Saya merayu, jika anda boleh tunjuk belas kasihan. Ia baik untuk anda, baik untuk rakyat Palestin, dan baik untuk seluruh kemanusiaan,” katanya.
Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, pula berkata seramai 2.1 juta penduduk Gaza kini ‘berdepan ancaman maut yang amat nyata’.
“Kita perlu hentikan kebuluran, bebaskan semua tebusan dan memulihkan sistem kesihatan dengan segera.
“Sebagai bekas tebusan, saya boleh katakan bahawa semua tebusan perlu dibebaskan. Keluarga mereka menderita. Mereka sedang menanggung kesakitan,” katanya.
WHO melaporkan rakyat Gaza kini mengalami kekurangan bekalan makanan, air, perubatan, bahan api dan tempat perlindungan yang sangat kritikal.
Empat hospital utama terpaksa menggantung perkhidmatan perubatan minggu ini akibat kedudukannya yang berhampiran zon pertempuran, kawasan pemindahan, atau menjadi sasaran serangan.
Hanya 19 daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza masih beroperasi, itu pun dalam keadaan yang disifatkan WHO sebagai ‘tidak masuk akal’.
Secara keseluruhan, hanya 2,000 katil hospital masih boleh digunakan di seluruh wilayah Palestin – angka yang jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan semasa.










