Siti Healthcare jayakan imunisasi Covid-19 pekerja ladang Sime Darby Plantation Berhad - Utusan Malaysia

Siti Healthcare jayakan imunisasi Covid-19 pekerja ladang Sime Darby Plantation Berhad

PROGRAM Imunisasi Covid-19 pekerja ladang Sime Darby yang dilaksanakan oleh Siti Healthcare Sdn. Bhd. di Ladang Bikam, Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangkaian penyedia perkhidmatan kesihatan, Siti Healthcare Sdn. Bhd. memperluaskan lagi program imunisasi Covid-19 kepada pekerja-pekerja ladang milik Sime Darby Plantation Berhad.

Pemberian vaksin dan dos penggalak itu merupakan sebahagian daripada program imunisasi industri yang dilaksanakan Siti Healthcare Sdn. Bhd. sebagai Healthcare Organisation (HCO) dilantik kerajaan.

Pengerusi Siti Healthcare Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Muhammad Ali Yahya berkata, program imunisasi melibatkan kumpulan pekerja estet Sime Darby yang dianggarkan berjumlah 16,000 orang bermula di Ladang Bikam, Perak.

“Selain di Perak, Siti Healthcare atau lebih dikenali sebagai Klinik Siti juga akan melaksanakan program suntikan vaksin kepada pekerja syarikat gergasi perladangan itu di Kedah, Selangor dan Pahang.

“Usaha ini diharap dapat memberi perlindungan kepada semua pekerja estet Sime Darby yang tinggal jauh di pedalaman.

“Ia juga selaras dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kadar pemberian vaksinasi dan dos penggalak dalam kalangan individu dewasa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Muhammad Ali, pihaknya memulakan perkhidmatan sebagai HCO dalam program imunisasi Covid-19 sebagai pengendali Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Malaya dan MITEC, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sebagai HCO, pihaknya bertanggungjawab dalam penyediaan tenaga kerja dalam urusan pemberian vaksin, menguruskan pembekalan, penyimpanan dan pengurusan dos vaksin yang disalurkan oleh pihak kerajaan.

Sehingga kini, kumpulan penyedia perkhidmatan kesihatan itu mempunyai 31 buah klinik yang beroperasi di Selangor, Negeri Sembilan dan 16 buah lagi dijangka beroperasi dalam suku kedua tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN