Sisa makanan sempena Ramadan dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Sisa makanan sempena Ramadan dijangka meningkat

AMINUDDIN Harun (tengah) dan Rizalman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Blueprint (Rangka Tindakan) Negeri Sembilan Bersih-SWCorp Bersamamu #NogorikuRumahku di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjangkakan akan berlaku peningkatan sisa makanan di tapak pelupusan sampah sempena bulan Ramadan ini

Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, sebelum ini aktiviti pembaziran termasuk dari bazar Ramadan menyumbang kepada 40 peratus sisa buangan di tapak pelupusan sampah pada setiap bulan Ramadan.

“Sebanyak 40 peratus pembuangan sisa makanan adalah daripada kegiatan pembaziran termasuk daripada bazar Ramadan. Sehubungan itu, pihak SWCorp mahu meningkatkan usaha dengan mengadakan kempen supaya tidak berlaku pembaziran terutama pada  Ramadan tahun ini. 

“Tahun ini juga kami menjangkakan peningkatan sisa makanan di tapak pelupusan susulan pembukaan bazar Ramadan di seluruh negara.

“Ini kerana keghairahan mereka (pengunjung) membeli makanan sehinggakan terdapat pembaziran yang berlaku seterusnya dibuang,” kata beliau pada Majlis Pelancaran Blueprint (Rangka Tindakan) Negeri Sembilan Bersih- SWCorp Bersamamu #NogorikuRumahku di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Dalam pada itu, menurut beliau, SWCorp turut berhasrat mengurangkan bebanan sisa pepejal di tapak pelupusan di seluruh negara. 

“Ia bagi membolehkan jangka hayat tapak pelupusan dipanjangkan. SWCorp akan cuba mencari kaedah yang terbaik untuk mengurangkan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah ini,” kata beliau.

Sementara itu, Aminuddin dberkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan perlu dilaksanakan bagi membendung kegiatan pembuangan sampah haram dan pencemaran alam sekitar di negeri ini. 

“Tindakan tegas ini perlu diambil bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab ini tidak terus berleluasa. Saya masih menganggap cadangan saya masih relevan sebelum ini supaya mereka yang terlibat melepaskan sisa buangan atau buangan terjadual ke perairan daratan dan perairan negara dendanya dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM2 juta,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN