SilTerra jalin kerjasama 3 universiti, sasar rekrut 30 jurutera setahun

SilTerra jalin kerjasama tiga universiti, sasar rekrut 30 jurutera setahun

SYED Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir (dua dari kiri) bersama wakil daripada tiga buah universiti iaitu USM, UTeM dan UniMAP pada majlis menandatangani MoU antara semua pihak di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Syarikat pengeluar semikonduktor tempatan, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. (SilTerra) menyasarkan merekrut sehingga 30 jurutera dalam bidang itu setiap setahun pada masa depan.

Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir berkata, sasaran itu dibuat susulan jalinan kerjasama yang dimeterai bersama tiga buah institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Rancangan awal kita ialah seramai 60 pelatih akan diambil daripada ketiga-tiga buah universiti ini untuk dilatih di SilTerra. Dengan itu, kita berharap untuk dapat merekrut sehingga 30 orang jurutera setahun. Ini (cadangan) yang sedang kita usahakan sekarang,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) serta surat hasrat (LoI) bersama wakil daripada ketiga-tiga buah universiti itu, di sini hari ini.

Pada majlis itu, USM serta UniMAP diwakili oleh Naib Canselor masing-masing iaitu Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Lt. Kol. Prof. Dr. Zaliman Sauli manakala UTeM pula diwakili Timbalan Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar.

Di bawah perjanjian itu, kesemua yang terlibat akan mempromosikan program pendidikan dan latihan dalam membangunkan bakat serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama yang akan disesuaikan dengan keperluan ekosistem industri semikonduktor negara.

Selain pembangunan bakat melalui program penajaan pelatih, bidang kerjasama lain ialah latihan berasaskan kemahiran, seminar, bengkel dan pembangunan kurikulum secara bersama.

Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin memberitahu, pihaknya turut menyediakan peruntukan sehingga RM1.5 juta setahun dalam usaha meneroka sepenuhnya potensi serta membangunkan modal insan dalam kalangan jurutera generasi baharu.

“Kita fokuskan kepada kumpulan kecil ini (60 pelatih dengan sasaran 30 jurutera setahun) bagi memastikan kualiti mereka terjamin,” katanya.

Tambah beliau, buat masa ini juga pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menjalin kolaborasi bersama ketiga-tiga buah universiti itu.

“Kita tidak ada tempoh spesifik (untuk bekerjasama) kerana kalau boleh, kita nak ia berterusan. Bagaimanapun, sebagai permulaan, kita sasarkan untuk melihat perkembangan kerjasama ini bagi tempoh tiga tahun pertama terlebih dahulu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya