KOTA KINABALU: Seramai 117 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di kawasan setinggan di belakang Dewan Hakka awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang berusia dua hingga 60 tahun itu ditahan dalam Operasi Patuh Bersepadu yang bermula pada pukul 12.10 tengah malam hingga 2.15 pagi.
Beliau berkata, daripada 124 orang yang diperiksa, 117 orang yang membabitkan 73 wanita dan 44 lelaki termasuk kanak-kanak ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah.
Katanya, operasi itu dilakukan berdasarkan aduan orang awam mengenai kehadiran PATI di kawasan tersebut. Malah, terdapat maklumat yang menyatakan ada aktiviti transit penyeludupan rokok haram yang dibekalkan oleh PATI di sekitar kawasan berkenaan.
“Semua tahanan diarahkan menjalani saringan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Imigresen bagi mengelak berlaku penularan di pusat tahanan.
“Ia juga seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi itu disertai seramai 48 orang pegawai dan anggota Imigresen Sabah dan diketuai Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Mengulas lanjut katanya, beliau mengingatkan rakyat tempatan agar tidak cuba melindungi PATI dan melaporkan segera kehadiran PATI di kawasan masing-masing.
Jelas Sharifah Sitti Saleha, Jabatan Imigresen memberi amaran keras kepada sesiapa sahaja termasuk warga tempatan agar tidak menyewakan atau membenarkan mana-mana PATI tinggal di premis mereka.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol membawa atau menempatkan PATI di kawasan penempatan mereka,” katanya. – UTUSAN










