Seronok berkhatan beramai-ramai

Seronok berkhatan beramai-ramai

KANAK-KANAK yang mengambil bahagian dimandikan secara beramai-ramai sebelum dikhatan dalam program anjuran Masjid Nur As-Sa’adah, Pengkalan Batu, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 18 kanak-kanak diraikan pada program berkhatan beramai-ramai secara percuma anjuran Masjid Nur As-Sa’adah, Pengkalan Batu, di sini hari ini. 

Program tersebut disertai peserta termuda berusia empat tahun sehingga kanak-kanak berumur 11 tahun. 

Ibu kepada seorang peserta, Siti Asmah Ali, 39, berkata, dua anaknya iaitu Muhammad Amsyar Mohd. Redzwan, 5, dan Muhammad Ammar, 7, amat teruja untuk dikhatankan di masjid tersebut. 

“Sejak semalam mereka sudah teruja dengan program berkhatan ini, malah sempat menonton siri kartun Upin & Ipin yang berkisarkan tentang sunat. 

“Mula-mula mereka rasa takut, namun pagi tadi kedua-duanya tidak sabar untuk dikhatankan bersama-sama di masjid,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, dia juga berterima kasih dengan penganjuran sedemikian yang membantu memudahkan urusan berkhatan, selain dapat menjimatkan kos kira-kira RM300. 

Seorang kakitangan awam, Muhammad Syafiq Abu Hassan, 35, turut tidak melepaskan peluang mendaftarkan dua orang anaknya, Danish Nawfal, 6, dan Dayyan Naim, 5.

“Berkhatan beramai-ramai lebih bagus sebenarnya kerana dapat mengurangkan gemuruh anak-anak. Lagipun, masjid ini menawarkan proses berkhatan menggunakan teknik laser,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nur As-Sa’aadah, Datuk Amzah Osman berkata, program itu dianjurkan bagi menjaga kemaslahatan masyarakat khususnya penduduk di kariah tersebut. 

“Program ini adalah yang pertama kali dilaksanakan di masjid ini dan kita memberikan keutamaan kepada anak-anak kariah di sini. Kita telah meminta kerjasama daripada sebuah klinik swasta untuk melakukan proses berkhatan secara laser dan kos ini ditanggung sepenuhnya oleh pengurusan masjid,” katanya. 

Tambahnya para peserta telah dimandikan secara beramai-ramai dan diberikan wang sagu hati sebanyak RM5 setiap seorang untuk membeli makanan ringan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN