suami isteri didenda

Sepasang suami isteri didenda tipu jualan kereta lelong kastam

MOHD Farij Johari (kiri) dan Rozana Mohd Radzi (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan memperdaya dan menyembunyikan wang mangsa dalam penipuan penjualan kereta lelong kastam, lima tahun lalu, di Kompleks Mahkamah Klang, Selangor , hari ini. - UTUSAN/ ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG : Sepasang suami isteri didenda RM11,000 selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdaya dan menyembunyikan wang mangsa dalam penipuan penjualan kereta lelong kastam, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret berasingan, hukuman terhadap mereka ditetapkan pada 8 April ini selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi menyediakan fakta kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Farij Johari, 36, dan Rozana Mohammad Radzi, 41, membuat kesemua pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret-Majistret, P. Sarulatha, Amirul Asyraf Abdul Rasid dan Noorjidah Mohd. Jusan.

Mohd. Farij didenda RM10,000 atau penjara sehingga 16 bulan jika gagal membayarnya sementara isterinya, Rozana pula didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Farij didakwa memperdayakan dua individu sehingga mendorong mereka memindahkan wang berjumlah RM3,300 ke akaun miliknya untuk pembelian kereta lelong kastam jenis Toyota Vellfire dan Hiace yang tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua buah bank di Jalan Meru, dekat sini pada pukul 11.16 pagi, 14 Julai 2017 dan 8.55 malam, 13 Ogos 2017.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Rozana yang tidak bekerja didakwa menolong menyembunyikan wang berjumlah RM3,500 milik dua individu ke dalam akaun miliknya di dua buah bank di Jalan Meru dan Bukit Tinggi pada 13 dan 23 Ogos 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohd. Farij yang merupakan pesakit tibi merayu hukuman denda lebih ringan memandangkan dia seorang yang menyara keluarga dan perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana berada dalam kesusahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri, Nur Sabrina Zubairi dan Ahmad Faiz Abd. Raoff manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN