KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Februari lalu telah meluluskan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Negeri antaranya pindaan berkenaan istilah “Ketua Menteri” perlu diubah kepada “Premier”.
Justeru, berkuatkuasa hari ini, istilah Ketua Menteri Sarawak dipinda dan disebut sebagai Premier Sarawak dalam Bahasa Melayu.
Menerusi kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri, pindaan tersebut juga akan diguna pakai dalam bahasa Inggeris sebagai Premier of Sarawak.
“Sementara itu, sebelum ini istilah Pejabat Ketua Menteri juga ditukar dan digantikan dengan istilah “Pejabat Premier Sarawak” manakala dalam bahasa Inggeris pula “Office of the Premier of Sarawak,” katanya.
Pada masa yang sama, Timbalan Ketua Menteri akan dirujuk sebagai (Timbalan Premier) dan Menteri Muda pula dirujuk sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa hari ini.UTUSAN