Rujuk Jabatan Perikanan jika mahu lepaskan ikan asing ke sungai, tasik 

Rujuk Jabatan Perikanan jika mahu lepaskan ikan asing ke sungai, tasik 

BOHARI Leng pada Program Jelajah Perikanan di Anjung Tasik Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan menasihatkan orang awam merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya sebelum melepaskan mana-mana ikan asing ke sungai atau tasik. 

Pengarah Kanan, Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumbernya, Bohari Leng berkata, perkara itu penting bagi memastikan ikan asing berkenaan tidak mengancam sumber ikan asli tempatan. 

Beliau berkata, pihaknya akui sukar untuk mengawal mana-mana individu yang melepaskan ikan asing itu memandangkan keadaan serta persekitaran sungai dan tasik yang berada dalam keadaan terbuka. 

“Buat masa ini, kita tiada data tepat mengenai populasi ikan asing yang mendominasi sungai dan tasik dalam negara sebaliknya kami banyak menerima aduan daripada pemancing tempatan. 

“Setakat ni, kami dapat maklumat kehadiran ikan asing hanya menerusi pemancing yang mendakwa banyak menangkap ikan berkenaan di sungai dan tasik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Benih Ikan di Tasik Putrajaya, hari ini. 

Katanya, pihaknya juga sudah merangka pelbagai program khususnya bagi meningkatkan kesedaran memulihara sumber ikan asli dan menyedarkan orang awam tentang ancaman ikan asing. 

Bohari berkata, kehadiran ikan asing itu boleh mengancam ikan asli disebabkan sifatnya lebih bertahan, cepat membesar dan agresif serta mampu mendominasi sungai dan tasik. 

Menurutnya, antara ikan asing yang kerap ditemui di sungai dan tasik ialah arapaima, keli Afrika, baung ekor merah dan ikan peacock bass. 

“Kebanyakan ikan ini dilepaskan ke perairan umum kerana tidak mampu dibela pemiliknya disebabkan saiznya semakin membesar selain turut terlepas akibat bencana banjir.  Malah, ada juga budaya orang kita yang suka lepaskan ikan ke dalam sungai kerana berhajatkan sesuatu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya