YAN: Penduduk berdekatan Sungai Bakong terutama di Kampung Titi Bakong di sini, bimbang kejadian kepala air di Gunung Jerai pada Ogos tahun lalu berulang berikutan hujan lebat kebelakangan ini.
Kejadian arus deras dari Gunung Jerai sering berlaku selepas hujan lebat yang turut membawa tanah, lumpur dan sisa ranting serta pokok.
Dalam kejadian terbaru petang kelmarin, hujan lebat berterusan lebih empat jam menyebabkan air Sungai Bakong naik mendadak sebelum melimpah masuk ke rumah penduduk setinggi hampir satu meter.
Seorang penduduk, Nurhafidah Abu Hassan, 46, berkata, hujan lebat itu menyebabkan keluarganya tidak senang duduk selepas melihat paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan dapur rumahnya pada pukul 6 petang.
Menurutnya, dia lega air sungai tersebut mulai surut kira-kira 15 minit kemudian.
“Arus sungai ini turut membawa tanah berlumpur dan ranting kayu yang melimpah di sekeliling rumah sebelum memasuki bahagian dapur.
“Saya yang dibantu suami, Zaini Ismail, 47, serta dua anak berusia 10 dan 15 tahun segera mengangkat perabot rumah ke tingkat atas bagi mengelak terendam air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titi Bakong, semalam.
Seorang lagi penduduk, Normadiah Zainol, 52, berkata, kejadian banjir kilat itu menakutkan dia dan keluarganya kerana masih trauma dengan kejadian kepala air tahun lepas.
“Kejadian limpahan air Sungai Bakong terlalu pantas menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan banyak barangan rumah kerana ingin selamatkan diri selepas rumah dimasuki air lebih 0.5 meter.
“Saya dan suami, Amir Hasan, 52, serta dua anak perempuan berusia 23 dan 22 tahun bergegas keluar dari rumah kerana bimbang terperangkap dalam kejadian banjir tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail ketika dihubungi berkata, kejadian banjir kilat itu berlaku kerana sampah sarap dan kayu yang dibawa arus semasa hujan lebat tersangkut pada titi berdekatan rumah penduduk terbabit.
“Keadaan ini menyebabkan paras air sungai naik sebelum melimpah ke kawasan sekitar hingga menyebabkan banjir kilat. Bagaimanapun selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan anggota APM, aliran air sungai itu kembali normal,” katanya.
Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu, enam penduduk terkorban akibat dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh.
Selain itu sebanyak 1,732 rumah kediaman, 124 premis dan 14 pengusaha chalet pelancongan turut terkesan dalam fenomena itu. – UTUSAN










