Remaja banyak tertipu beli gajet mahal dijual murah secara 'online'

Remaja banyak tertipu beli gajet mahal dijual murah secara ‘online’

AZLI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menasihatkan orang ramai tidak tertipu dengan sindiket jualan gajet secara dalam talian yang semakin bermaharajalela sejak kebelakangan ini. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis banyak menerima aduan berkaitan kes itu sejak 2020 daripada mangsa di daerah ini yang terjebak dengan penipuan berkaitan pembelian barangan secara dalam talian. 

“Golongan paling ramai kena tipu ialah remaja yang mudah ‘terpikat’ dengan barangan atau gajet yang mahal, tetapi diuar-uarkan dengan harga yang sangat murah dan tidak masuk akal.

“Cara pemasaran secara dalam talian ini agak tersusun apabila mangsa yang membeli barangan akan dihubungi oleh pihak kastam dengan mengarahkan (mangsa) supaya membayar sejumlah wang bagi tujuan melepasi sekatan cukai dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azli, modus operandi cukup licik itu dilakukan dengan pantas dan teratur membuatkan mangsa tertekan apabila maklumat atau urusan ‘bertukar tangan’ kepada pihak polis yang kononnya mangsa akan dipersalahkan kerana melakukan pembelian tidak mengikut saluran percukaian atau ‘black market’.

“Apabila mangsa yang tidak menghalusi cara penipuan ini dan tanpa berfikir panjang mulalah ‘terdesak’ ataupun takut ditahan polis lalu terus memindahkan (memberikan) sejumlah wang yang dikehendaki kepada sindikit berkenaan.

“Remaja atau mereka yang terlibat diminta jangan cepat panik, sebaliknya memaklumkan kepada ibu bapa, orang yang lebih tahu dan seeloknya terus melaporkan kepada polis,” katanya.

Azli menasihatkan orang ramai di sini berurusan dengan ejen jualan yang sudah dikenali serta membaca komen pembeli lain yang boleh menentukan ketulenan ‘syarikat’ jualan terbabit. 

“Sebaik-baiknya jangan layan sebarang pembelian atau pinjaman sekiranya tidak pernah berurusan serta tawaran yang dianggap ‘ganjil’, tidak masuk akal juga mengelakkan diri daripada terjebak dengan pencintaan secara dalam talian atau ‘love-scam’ yang sudah banyak berlaku dengan mangsa kerugian sejumlah wang yang banyak.

“Polis menasihatkan orang ramai di sini supaya lebih berhati-hati dalam melakukan urus niaga atau pembelian barangan dalam talian,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai boleh menghubungi pihak polis melalui aplikasi WhatsApp berkaitan kes seperti ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), CCID infoline : 013-2111222 pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN