IPOH: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) meminta kerajaan mengkaji semula keputusan untuk menutup laluan di satu seksyen untuk sampai ke Hutan Mossy di Gunung Brinchang di Cameron Highlands.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, penutupan laluan itu kepada semua kenderaan kecuali kenderaan jabatan dan agensi kerajaan, melibatkan jalan masuk ke stesen VHF Gunung Brinchang bermula dari seksyen 4.20 hingga seksyen 4.90.

Menurutnya, apa yang menjadi persoalan ialah notis penutupan laluan itu tidak dinyatakan sebab atau apakah pembangunan atau projek yang hendak dilaksanakan di situ menerusi satu notis bertarikh 16 Februari lalu.
Katanya, penutupan laluan di seksyen itu dibimbangi akan menjejaskan kedatangan pelancong, sekaligus menjejaskan pendapatan agensi pelancongan yang baru hendak pulih selepas Covid-19.
“Mengikut notis yang diberikan, tempoh penutupan laluan di seksyen ke Hutan Mossy bermula 7 Mac ini hingga 7 Mac 2025, tanpa sebarang alasan diberikan untuk tujuan apa laluan itu ditutup.
“Melihatkan kepada seksyen yang ditutup itu, ia melibatkan laluan untuk sampai ke puncak Hutan Mossy di Gunung Brinchang.
“Persatuan bimbang penutupan ini akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Hutan Mossy yang akan menjejaskan agensi pelancongan di sini kerana mereka inilah yang membawa pelancong untuk ke Hutan Mossy yang merupakan antara tarikan utama ke Cameron Highlands,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sepatutnya cadangan menutup laluan itu dibincangkan terlebih dahulu dengan pengendali pelancongan di sini namun Reach kesal kerana penutupannya dibuat secara tiba-tiba.
“Kami faham jika tiada perbincangan dalam perkara-perkara pembangunan melibatkan pertanian di sini tetapi ini melibatkan pelancongan, mengapa tiada perbincangan?.
“Agensi pelancongan baru hendak bernafas semula disebabkan Covid-19 tetapi tiba-tiba laluan di Hutan Mossy henda ditutup, macam mana agensi pelancongan nak cari makan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya penutupan berkenaan bertujuan untuk kerja membaiki jalan di laluan yang terlibat.
“Sepatutnya kerajaan memaklumkan apa tujuan laluan itu ditutup supaya agensi pelancongan dapat mencari alternatif yang tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke Hutan Mossy,” katanya.-UTUSAN










