fbpx

Rakyat Malaysia ditipu ejen cari kerja terkandas di Myanmar

YEO KENG CHUAN

KULIM: Beberapa rakyat Malaysia dipercayai  terkandas secara haram di Myanmar selepas ditipu ejen pencari pekerjaan di negara tersebut sejak Januari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kulim,Yeo Keng Chuan berkata, perkara tersebut didedahkan  salah seorang mangsa tersebut, Lim Sew Siam, 53, yang memohon bantuan kerajaan membawa pulang anak lelakinya yang terkandas di negara tersebut.

Menurutnya, Sew Siam memaklumkan  anaknya, Ang Poon Guan, 27,  sebelum ini memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah syarikat di negara berkenaan.

“Anak lelakinya kemudian mendapat pekerjaan terbabit dan ejen pencari pekerjaan  tersebut selepas itu mengarahkan anak lelakinya itu ke Kuantan, Pahang  pada 2  Januari untuk berkumpul bersama pekerja lain sebelum bertolak ke Myanmar.

“Syarikat terbabit membawa anak lelakinya itu bersama tujuh lagi lelaki ke Myanmar melalui lorong tikus di antara Malaysia, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa menghubungi ibunya  melalui aplikasi WeChat pada 8 Mac lalu dan memberitahu ibunya bahawa dia bukan bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti dijanjikan.

Sebaliknya, katanya,  pekerjaan mangsa adalah sebagai  ‘scammer operator’ secara dalam talian dengan menggunakan komputer.

“Mangsa memaklumkan dia tidak diberikan makanan dan masa tidur yang mencukupi, malah pergerakan mangsa juga dikawal oleh beberapa individu,’ ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, mangsa ingin berhenti kerja dan pulang ke Malaysia, namun diugut dikenakan bayaran kira-kira RM40,000 jika ingin berbuat demikian.

Jelasnya, ibu mangsa kemudian memohon bantuan di pejabat ADUN Kulim untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi anaknya itu.

“Saya sudah menghantar surat memohon  bantuan daripada Kementerian Luar Negeri untuk menyelamatkan mangsa bersama beberapa rakyat Malaysia lagi yang terkandas dan tertipu dengan sindiket pekerjaan di Myanmar,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!