JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bertanding cuma satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah kerana mahu menjadi penentu pembentukan kerajaan negeri pada 12 Mac ini.
Pengerusi Putra Johor, Prof. Datuk Dr. Kamarul Zaman Mohd. Jidin berkata, meletakkan satu calon adalah keputusan berisiko partinya yang berani diambil.
Katanya, sejarah membuktikan satu kerusi boleh menjadi kuasa penentu (king maker) sekiranya DUN itu tergantung.
“Jika mana-mana gabungan berdepan kemenangan sejumlah kerusi sama banyak, maka dengan satu undi ini kita boleh tengok parti manakah akan Putra pilih untuk menjadi kerajaan.
“Dengan itu mana-mana gabungan itu kena tunduk pada kami dan mengikut beberapa tuntutan yang akan menjadi penentu. Betapa besarnya satu undi itu,” katanya di sini.
Dr. Kamarul Zaman yang juga calon DUN Semerah berdepan saingan lima penjuru melibatkan penyandang kerusi, Khuzzan Abu Bakar mewakili PKR dan Mohd. Fared Khalid dari Barisan Nasional (BN).
Beliau juga berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsuddin dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mahdzir Ibrahim.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Semerah dimenangi Khuzzan dengan majoriti tipis 98 undi menewaskan Mohd. Ismail Roslan dari BN dan Ustaz Wan (Pas). – UTUSAN