Kombinasi Mohd Naim-Mohd Ismail bawa suara rakyat Kinabatangan, Lamag

Kombinasi Mohd Naim-Mohd Ismail bawa suara rakyat Kinabatangan, Lamag

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KINABATANGAN: Kombinasi dua calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Naim Kurniawan dan Mohd. Ismail Ayob mampu memastikan suara rakyat terus didengar secara berkesan di kedua-dua peringkat Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, gabungan tenaga generasi muda dan pengalaman kepimpinan oleh kedua-dua calon itu menjadi asas penting kepada usaha memperjuangkan kepentingan rakyat dan kelangsungan pembangunan.

Menurutnya, Mohd. Naim tampil sebagai pemimpin muda yang progresif dan memahami aspirasi generasi baharu manakala Mohd. Ismail pula berpengalaman serta mempunyai pengetahuan mendalam mengenai keperluan dan cabaran masyarakat di Lamag.

“Kombinasi ini diyakini dapat memastikan suara rakyat bukan sahaja didengar, malah diperjuangkan secara konsisten sama ada di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Pilihan Raya Kecil (PRK) menyaksikan tiga calon berentap untuk merebut kerusi Parlimen Kinabatangan manakala dua calon di DUN Lamag yang kosong selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar, pada 5 Disember tahun lalu.

Jafry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, BN kekal komited untuk memastikan kestabilan politik, pembangunan berterusan serta kesejahteraan rakyat melalui kepimpinan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemilihan calon dibuat secara teliti dengan mengambil kira faktor kepimpinan, penerimaan masyarakat setempat serta kemampuan calon untuk berkhidmat secara konsisten dan berkesan.

Katanya, BN akan mengamalkan pendekatan berorientasikan rakyat dan berasaskan fakta sepanjang kempen PRK dengan memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung bersama calon, sekali gus memahami visi, misi dan perancangan pembangunan yang dibawa.

“Pendekatan ini menekankan pendengaran aktif, penyampaian maklumat yang jelas serta penyelesaian konkrit terhadap isu-isu setempat, selaras dengan prinsip kepimpinan BN yang berkesan dan berwawasan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN