Profesor, pelajar IPTS scammer diberkas - Utusan Malaysia

Profesor, pelajar IPTS scammer diberkas

RAZALI Abu Samah (kiri) menunjukkan gambar samaran digunakan suspek untuk memperdaya mangsa ketika sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis memberkas enam warga Nigeria yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyamaran sebagai profesor dan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), untuk melakukan pelbagai aktiviti penipuan dan mengedar dadah, semalam.

Dalam serbuan pada pukul 5 hingga 10 pagi itu, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 44 tahun ditahan ketika sedang menjalankan kegiatan love scam dan penipuan bungkusan barang di sebuah premis di Bukit Beruang dan Ayer Keroh di sini.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, hasil maklumat awam, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di tiga lokasi berasingan.

“Pemeriksaan di lokasi, kita menemukan skrip digunakan suspek dipercayai untuk menipu mangsa dalam aktiviti love scam dan parcel. Selain itu, kita turut menemukan botol dipercayai alat untuk menghisap dadah, satu peket dadah ketamin seberat 2.6 gram, tujuh peket ganja (34.73 gram) dan satu ketulan ganja mampat (600 gram) bernilai RM5,000,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Razali berkata, salah seorang suspek bertindak menipu mangsa dengan menyamar sebagai profesor manakala tiga lagi kononnya adalah penuntut IPTS.

“Berdasarkan barang kes, kita percaya sindiket ini telah aktif sejak enam bulan lalu, malah suspek telah menggunakan gambar-gambar samaran lelaki kacak yang ditemukan dalam komputer riba. Dokumen dan sijil digunakan juga amat meyakinkan dan sukar dibezakan sama ada ia palsu atau tulen,” katanya.

Tambahnya, polis juga percaya dadah yang ditemukan adalah untuk diedarkan kepada pelajar IPTS di sekitar Ayer Keroh.

Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 420 Kanun kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN