PETALING JAYA: Kontroversi mengenai kain kafan berharga RM999 yang mencetuskan perdebatan di media sosial ketika ini mendapat teguran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil.
Beliau berkata, kecelaruan ‘mizan’ boleh menyebabkan seseorang mengambil tindakan yang ganjil namun perbuatan tersebut tidak diharamkan.
“Kita bukan mengharamkan tindakan sedemikian. Namun, kita perlu mengetahui bahawa setiap keadaan ada mizan dan neracanya.
“Tidak salah menempah kain kafan dengan sesiapa, namun cuba elakkan ungkapan pakaian berjenama ketika kematian kerana mizan pada ketika itu adalah amalan soleh kita.
“Mungkin niatnya baik, tetapi perkara yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat perlu dielakkan. Kalau ada kekeliruan, datanglah ke pejabat saya dan kita akan jelaskan kekeliruan tersebut. Saya sayang masyarakat saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, seorang usahawan terkenal mencetuskan perdebatan di media sosial selepas berkongsi bahawa beliau telah menempah pakaian untuk ke alam kubur sebagai persiapan menghadapi kematian.
Difahamkan, set kain kafan tersebut ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal tanah air pada harga RM999.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial, usahawan berkenaan mendakwa keputusan itu dibuat sebagai satu bentuk peringatan diri serta persediaan awal untuk kehidupan selepas mati. – UTUSAN










