ISKANDAR PUTERI: Penyertaan calon-calon berusia muda termasuk daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak boleh dipandang remeh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, semua pihak mempunyai peluang yang seimbang untuk menambat hati rakyat sepanjang tempoh berkempen ketika ini.
Kata beliau, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen termasuk pindaan waktu berceramah sehingga 12 tengah malam juga memberi ruang kepada calon-calon walaupun tidak boleh dilakukan dalam skala besar.
“Kita kena hormat semua parti, masing-masing ada idealisme dan visi tak kira parti Muda, Parti Pejuang Tanah Air atau Parti Warisan Sabah dan sudah pasti musuh tradisi kita Pakatan Harapan serta Perikatan Nasional (PN) semua ada maruah sendiri.
“Tak perlu kita remehkan usaha mereka, semua tengah mencuba untuk PRN ini. Semua ada pentas yang sama rata untuk merayu undi daripada rakyat.
“Selamat maju jaya kepada semua termasuk Muda. Beri mereka peluang untuk berkempen tetapi sudah tentu masa mengundi (pengundi) kena undi Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui semasa melawat Command Centre BN Iskandar Puteri, di sini.
Sementara itu, ketika ditanya kempen PN yang menggunakan papan iklan memaparkan usaha mereka dalam program vaksinasi percuma, Khairy berpendapat ia tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen.
“Itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat kerajaan Persekutuan iaitu kerajaan yang dibentuk oleh BN dan PN. Jadi ia adalah program daripada semua dalam kerajaan.
“Kerajaan boleh ambil kredit, mungkin mereka mahu kata sebagai wakil dalam kerajaan (tetapi) kita pun boleh ambil kredit yang sama. Tak perlu jadikan sebagai bahan kempen PRN,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO dan BN perlu direhatkan, ujar Khairy, beliau tidak melihat apa-apa keperluan terhadap perkara itu kerana BN menawarkan Ikhtiar yang baik kepada rakyat.
“Kenapa nak rehatkan kita di sini pula. (PRN) tiada kena mengena dengan pemimpin rasuah, sekarang ketua parti di Johor Datuk Seri Hasni (Mohammad) yang berkredibiliti tinggi. Perdana Menteri kita pun tiada apa masalah. Jadi saya tak tahu apa yang dimaksudkan,” katanya. – UTUSAN