Selepas 50 tahun dipenjara, Jordan akhirnya dihukum mati

Selepas 50 tahun dipenjara, Jordan akhirnya dihukum mati

RICHARD GERALD JORDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MISSISSIPPI: Seorang banduan di sini menjalani hukuman mati selepas menunggu hampir lima dekad bagi kesalahan menculik dan membunuh isteri seorang pegawai pinjaman bank dalam satu rancangan penculikan kejam, pada Rabu.

Richard Gerald Jordan, veteran Perang Vietnam berusia 79 tahun yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dikenakan hukuman mati pada 1976 bagi kesalahan menculik dan membunuh Edwina Marter.

Dia meninggal dunia selepas suntikan maut diberikan di Penjara Negeri Mississippi di Parchman.

Menurut pegawai penjara, proses hukuman mati bermula pukul 6 petang dengan Jordan terbaring di atas katil suntikan dengan mulut sedikit terbuka dan menarik nafas dalam beberapa kali sebelum tidak bergerak.

Masa kematiannya direkodkan pada pukul 6:16 petang.

Jordan merupakan antara beberapa banduan yang menentang prosedur suntikan maut tiga ubat yang digunakan negeri itu dengan mendakwa ia tidak berperikemanusiaan.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menjalankan hukuman ini dengan cara yang berperikemanusiaan. Saya ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa,” kata Jordan ketika diberi pe­luang untuk membuat kenyataan terakhir.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya dan isterinya, serta memohon keampunan.

“Saya akan berjumpa kamu semua di alam sana,”katanya.

Isterinya, Marsha Jordan menyaksikan pelaksanaan hukuman mati itu bersama peguamnya Krissy Nobile dan penasihat rohani, Rev Tim Murphy.

Dalam sidang media selepas pelaksanaan hukuman, jurucakap keluarga Marter, Keith Degruy membacakan kenyataan bagi pihak dua anak lelaki dan suaminya yang tidak hadir pada hukuman tersebut.

“Tiada apa yang boleh mengembalikan ibu, kakak dan sahabat kami. Tiada apa yang boleh mengubah apa yang telah diambil Jordan daripada kami 49 tahun lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×