DALAM dunia pertunjukan fesyen, tidak banyak detik yang begitu ikonik, atau secara tidak dijangka mengubah haluan kerjaya, seperti saat Naomi Campbell terjatuh dengan penuh bergaya di pentas peragaan Vivienne Westwood di Paris pada Mac 1993.
Insiden yang menimpa supermodel terkenal antarabangsa itu menjadi detik ikonik dalam sejarah fesyen, sehingga beliau menerima permintaan daripada pereka lain untuk mengulangi adegan yang sebenarnya tidak disengajakan.
‘Tuah’ memakai kasut platform setinggi 21 sentimeter, Campbell yang ketika itu berusia 23 tahun menjadi tajuk utama di seluruh dunia apabila beliau hilang imbangan ketika sedang beraksi di pentas peragaan.
Kasut rekaan Westwood yang dikenali sebagai Super Elevated Gillie, kini dianggap legenda dalam dunia fesyen dan dipamerkan secara kekal di Muzium Victoria dan Albert di London.
Jenama itu masih menjual versi yang hampir sama pada harga AS$1,125 (RM4,813).
Kasut yang diperbuat daripada kulit buaya tiruan berwarna biru terang dan diikat dengan reben sutera di buku lali, diinspirasikan daripada gaya abad ke-18 dan ke-19.
“Saya rasa malu dan juga itu bukan masa yang sesuai bagi seorang wanita untuk jatuh,” kata Campbell secara berseloroh, sambil mengakui kesan fizikal dan emosi daripada insiden itu.
Selepas terjatuh, Campbell kembali ke belakang pentas dan mencuba semula, kali ini dengan menanggalkan stoking dan diberi tongkat untuk membantunya berjalan.
Namun, beliau hanya memegang tongkat itu di pinggang tanpa menggunakannya.
DETIK BERSEJARAH
Tidak lama selepas itu, Muzium Victoria dan Albert memperoleh kasut tersebut untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi tetap mereka.
Kurator muzium berkenaan, Elizabeth Murray berkata, pasukan tekstil dan fesyen V&A segera menghubungi Westwood sejurus selepas insiden Campbell tersebar ke seluruh dunia kerana mereka menyedarinya sebagai satu detik bersejarah.
Dalam keratan akhbar daripada fail pemerolehan kasut itu, Ratu Elizabeth II dilaporkan melihat kasut tersebut semasa lawatannya dan menyatakan tidak terkejut Campbell terjatuh ketika memakainya.
Walaupun kasut platform menjadi tumpuan utama pertunjukan itu, bahagian lain dalam persalinan Campbell – termasuk boa bulu berwarna merah jambu terang dan kilt yang diinspirasikan daripada rekaan tradisional Scotland, turut menjadi terkenal akibat insiden tersebut.
Corak tartan pada kilt tersebut, yang dinamakan Westwood Gordon Pink, ditenun khas untuk pereka itu oleh pengilang Scotland, Lochcarron, dan disenaraikan dalam Daftar Tartans Scotland, sebuah pendaftaran rasmi kerajaan.
“Ada kira-kira 2,000 pasang kasut dalam koleksi V&A yang meliputi kira-kira 3,000 tahun rekaan, tetapi ini mungkin sepasang kasut yang paling tinggi permintaan dan paling terkenal dalam koleksi tersebut,” kata Murray.
Beliau menjelaskan, kasut platform bukan rekaan baharu dalam dunia fesyen, malah sudah wujud sejak berabad lamanya.
Bagi Westwood, kasut platform bukan sekadar gaya atau fesyen, sebaliknya menjadi simbol untuk mengangkat imej dan kedudukan wanita.
TOLAK GIMIK
Dalam penampilan di rancangan Letterman pada 1990-an, Campbell dengan bangga berkata insiden itu membawa tuah dalam kerjayanya apabila beliau menerima tawaran untuk dua iklan komersial.
Pihak V&A turut mengambil peluang dengan menjual magnet cenderamata yang memaparkan detik Campbell terjatuh dan kini sudah habis dijual.-UTUSAN










