PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) wajar lebih proaktif menyelesaikan permasalahan penduduk walaupun wilayah itu dianggap sebagai amat lengkap dari segi prasarana awam.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sejak dilantik memegang jawatan itu, banyak isu dibangkitkan sewaktu sesi pertemuan dengan masyarakat.
“Kita tidak mahu isu sebegini kecoh dilaporkan, maka baru hendak diambil tindakan kerana kepentingan penduduk tidak boleh dilayan sedemikian rupa,” jelasnya lagi kepada pemberita.
Ia susulan tular menerusi media sosial mengenai sisa pepejal dilonggokkan di rumah sampah Presint 16 serta banyak rumah kosong terbiar sehingga menjadi lokasi pembiakan nyamuk.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu hadir merasmikan Kejohanan Futsal Piala Perantau anjuran Pertubuhan Kebajikan Perantau Jelebu (PKPJ) di Presint 18, di sini hari ini.
Pertandingan julung kali diadakan di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari itu disertai 16 pasukan dengan menawarkan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM8,100 dan hadiah iringan.
Mengulas lanjut, Jalaluddin memberi jaminan bahawa beliau akan memantau dan memastikan setiap isu yang disuarakan rakyat di Wilayah Persekutuan dapat ditangani dengan segera.
“Jika perkara sebegini masih lagi dibiarkan berlarutan, pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab itu perlu tampil mengemukakan jawapan balas kepada kementerian,” tegasnya.
Menyentuh mengenai PKPJ, beliau gembira melihat badan tersebut sejak dilancarkan pada November lalu ketika ini sudah mampu mendaftarkan kira-kira 3,000 ahli di Lembah Klang.
Selain bertujuan mengumpulkan anak perantau Jelebu di luar Negeri Sembilan di bawah satu bumbung pengurusan badan yang sistematik, ia juga dapat membantu ahli sekiranya ada.
Ini ujar beliau, termasuk bantuan dari segi pendidikan untuk murid dari keluarga yang miskin, bantuan perniagaan kerana terjejas akibat Covid-19 dan banjir serta program kebajikan lain.
“Saya minta pihak PKPJ agar diteruskan lagi program sebegini secara konsisten yang bukan sahaja untuk berkumpul, tetapi mengeratkan semangat persaudaraan,” tambah Jalaluddin. – UTUSAN










