KEMAMAN: Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini walaupun berdepan cabaran.
Malah, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin parti itu boleh mencapai keputusan yang lebih baik berbanding di PRN Melaka.
“Tiada orang yang masuk pilihan raya untuk kalah dan dari segi persiapan kerja oleh jentera-jentera PN sangat bersemangat sekali.
“PRN Johor ada cabarannya yang tersendiri, tetapi kita optimis dapat mencapai keputusan yang terbaik daripada di Melaka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
PN bertanding di kesemua 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan 33 daripadanya diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas (15 kerusi) dan Gerakan (8 kerusi).
Terdahulu, Pas dilaporkan mempunyai strategi untuk menang kesemua 15 kerusi yang ditandingi parti itu. – UTUSAN