PH lakukan 'post mortem', sedia hadapi PRU-15 - Utusan Malaysia

PH lakukan ‘post mortem’, sedia hadapi PRU-15

AMINOLHUDA Hassan (tengah) bersama Liew Chin Tong dan Syed Ibrahim Syed Noh pada sidang akhbar di Pusat Operasi PH di Senai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) akan melakukan ‘post mortem’ bagi mengkaji punca utama kekalahan mengejut kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan itu perlu dilakukan segera bagi membolehkan mereka bangkit semula menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, antara aspek yang akan diteliti termasuklah memastikan sebarang kelemahan, kekurangan dan kesilapan sepanjang PRN Johor diperbaiki.

“Ini penting dalam usaha PH untuk bersiap sedia dalam menghadapi PRU akan datang, khususnya selepas kita tahu kemenangan UMNO dan BN akan menjadikan mereka ghairah untuk mengadakan PRU secepat mungkin.

“Walaupun dengan kekalahan ini, kami tidak akan berputus asa. PH sebelum ini memang sudah biasa dengan peranan sebagai pembangkang dan kami tidak akan berputus asa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Operasi PH bagi PRN Johor di Hotel Le Grandeur, Senai, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor turut memberitahu, antara pengajaran boleh diambil adalah parti pembangkang sepatutnya bersatu dalam satu khemah yang sama.

“Salah strategi atau tidak, itu sudah lepas, selepas ini masing-masing perlu berlapang dada dan terima pandangan satu sama lain dengan ikhlas kerana keputusan ini tidak dijangkakan.

“Hal ini berlaku mungkin kerana jumlah peratusan keluar mengundi yang sedikit rendah, jika peratusan mengundi mencecah antara 70 hingga 80 peratus, mungkin keputusannya lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah pertembungan PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin antara penyebab kekalahan mereka, Aminolhuda enggan mengulas lanjut.

“Kami tidak mahu melihat isu pertelingkahan itu sebagai faktor, sebab kita bukan hanya kalah di kerusi berkenaan sahaja tetapi kerusi lain-lain pun kita kalah juga,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas berhubung kedudukannya selaku Pengerusi PH Johor, beliau yang tewas di kerusi DUN Parit Yaani menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi pakatan untuk membuat keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya