PETALING JAYA: Satu saluran sementara berlangsung selama 24 jam, Malaysia4Palestine yang disiarkan secara langsung bermula esok diwujudkan bagi mengetengahkan krisis kemanusian dan memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat tentang nasib menimpa rakyat Palestin dalam konflik peperangan tiada kesudahan.
Astro dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama yang julung kali dilakukan ini bakal menghimpunkan bakat, pempengaruh, pemain industri dan pekerja kemanusiaan dalam bersama-sama memupuk kesedaran tentang perjuangan rakyat Palestin.
Menurut kenyataan itu, saluran berkenaan akan bermula pukul 12 tengah hari esok (Sabtu) sehingga 12 tengah hari keesokannya (Ahad) di Astro saluran 111, Astro GO dan aplikasi Sooka serta di Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui platform Klik tanpa caj tambahan.
Kata kenyataan sama lagi, saluran Malaysia4Palestine bakal menampilkan temubual, persembahan khas dan dokumentari dalam mengetengahkan nasib rakyat Palestin.
“Sebagai tambahan, saluran ini memberi peluang kepada penonton untuk memberi sumbangan ke tabung rasmi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan mengimbas kod QR yang akan disediakan pada skrin.
“Inisiatif ini mendapat sokongan lebih 100 personaliti tempatan daripada dunia filem, TV, berita, muzik, media digital dan bantuan kemanusiaan,” kata kenyataan itu.
Antara personaliti terkenal yang mengambil bahagian dalam inisiatif Malaysia4Palestine seperti Datuk M. Nasir, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, Datuk Aaron Aziz, Dr Soo Wincci dan Alif Satar.
Turut menampilkan Datin Lisa Surihani, Denes Kumar, Datuk Syafinaz Selamat, Elizabeth Tan, Sherry Alhadad, Ceddy Ang.
Malah bakat-bakat muda seperti Nadhir Nasar, Meerqeen, Naim Daniel, Mira Filzah, Bella Astillah, Ella, Thomas Kok, Nabil Ahmad, dan ramai lagi juga mengambil bahagian dalam saluran 24 jam itu.










