Malaysia hanya tandatangani perjanjian antarabangsa jika patuh 3 prinsip utama

Malaysia hanya tandatangani perjanjian antarabangsa jika patuh 3 prinsip utama

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam dua platform rundingan antarabangsa menerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan menjaga kepentingan kesihatan awam negara.

Dua platform rundingan itu ialah Intergovernmental Negotiating Body (INB) bagi menghasilkan instrumen antarabangsa dikenali sebagai Perjanjian Pandemik; dan Kumpulan Kerja untuk membuat pindaan bersasar kepada Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR 2005).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penyertaan Malaysia itu juga wajib mematuhi tiga prinsip utama iaitu prinsip kedaulatan negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja dipastikan tidak akan disentuh.

Katanya, selain itu ialah prinsip kesamarataan iaitu negara-negara maju perlu membantu negara-negara membangun bagi menjamin agihan sumber seperti produk kesihatan berkaitan pandemik adalah adil dan saksama, serta tidak dimonopoli oleh negara maju sahaja.

Ini termasuk prinsip pendanaan iaitu pewujudan mekanisme kewangan kecemasan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik tidak akan melibatkan sebarang dana tambahan.

“KKM mengambil maklum dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan pindaan bersasar dokumen IHR 2005.

“Proses rundingan ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan.

Jelas beliau, sekiranya instrumen yang akan dimuktamadkan mengutamakan prinsip-prinsip asas yang dipertahankan terutamanya kedaulatan negara, KKM akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan bagi kerajaan menandatangani instrumen berkenaan.

“Sehingga itu, kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan. KKM sentiasa meneliti dan memantau rundingan antarabangsa bagi pindaan bersasar IHR 2005 dan penyediaan Perjanjian Pandemik ini.

“Perkembangan terkini berkaitan kedua-dua rundingan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dzulkefly berkata, penubuhan kedua-dua platform ini adalah bagi memperkukuhkan aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan, serta respon terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik pada masa akan datang di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, kedua-dua sesi rundingan ini diterajui sepenuhnya oleh negara anggota, manakala WHO hanya bertindak sebagai sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan adalah tertakluk kepada persetujuan negara anggota.

“Metodologi rundingan INB dan WGIHR yang sistematik dan komprehensif memberi peluang kepada setiap negara menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing.

“Setiap cadangan yang dimasukkan dalam draf kedua-dua dokumen ini dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira kapasiti, keupayaan, dan kebolehlaksanaan Negara Anggota dan sehingga kini, rundingan masih diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak WHO memaklumkan bahawa laporan hasil rundingan bagi Perjanjian Pandemik dan pindaan bersasar IHR 2005 akan dibincangkan semasa Persidangan Kesihatan Sedunia kali ke-77 yang akan berlangsung pada 27 Mei sehingga 1 Jun depan.

Katanya, pihak WHO juga menyatakan Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepada WHO untuk mengarahkan atau memaksa sesebuah negara untuk mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan.

Dzulkefly bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) yang akan berlangsung pada 27 sehingga 31 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×