Pertimbang elaun kenangan veteran ATM terima PJM

Pertimbang elaun kenangan veteran ATM terima PJM

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kementerian Pertahanan berharap peruntukan baharu dapat dipertimbang untuk pemberian elaun kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sebahagian besar veteran yang terkesan di dalam isu jurang pencen, terdiri daripada penerima pingat PJM.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya masih menilai kesesuaian pemberian elaun kenangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima PJM.

“Sekiranya opsyen ini mampu dilaksanakan, jurang pencen dalam kalangan veteran ATM yang berkaitan dapat dikurangkan. Kerajaan pernah memperuntukan sejumlah RM60.9 juta bagi pemberian elaun kenangan PJM kepada 121,816 warga veteran ATM 2020.  Sebanyak RM2.7 juta kepada balu dan waris tahun lalu.

“Jadi, kita berharap Kementerian Kewangan dapat mempertimbang lagi peruntukan baru untuk pemberian elaun kenangan PJM ini pada tahun akan datang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ikmal Hisham berkata demikian bagi menjawab soalan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) yang ingin tahu mengenai hasil kajian penyelarasan pencen veteran ATM antara pencen sebelum 2012 dan selepas 2012.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelarasan pencen sekiranya dilaksanakan membabitkan implikasi kewangan tinggi.

Bagaimanapun, katanya, kementerian sedang berusaha mencari pilihan terbaik dalam mengatasi jurang pencen. Ini memandangkan skim perkhidmatan ATM berbeza dengan skim perkhidmatan awam lain.

“Penjawat awam dari perkhidmatan kerajaan selain tentera menikmati pencen sehingga 60 peratus. Manakala majoriti veteran ATM yang sudah berkhidmat sehingga 21 tahun hanya layak menikmati pencen sebanyak 50 peratus,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN